Malaysia kini berdepan peningkatan kes influenza dengan 97 kluster dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 40/2025, majoritinya membabitkan institusi pendidikan.
Menurut seorang ejen insurans, wad kanak-kanak di sekitar Lembah Klang kini penuh dengan pesakit positif influenza, manakala seorang petugas di Subang Jaya Medical Centre turut memaklumkan bahawa hospital-hospital sedang berdepan ‘high census’ akibat kes influenza, RSV dan Rotavirus.
Doktor perubatan Dr Rusydina mengingatkan ibu bapa tidak memberi ubat dalam kategori Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drug (NSAID) kepada anak-anak yang mengalami demam akibat influenza.
Antara ubat dalam kategori ini termasuk:
- Voren atau Diclofenac (supositori)
- Ibuprofen seperti Nurofen (sirap)
Jelas Dr Rusydina, NSAID boleh menyebabkan komplikasi serius iaitu Acute Necrotizing Encephalopathy Childhood (ANEC) — keradangan otak akibat jangkitan virus influenza.
Antara simptom ANEC ialah:
- Demam tinggi
- Muntah
- Mengantuk atau kurang sedar
- Sawan
Kanak-kanak yang dijangkiti ANEC juga berisiko mengalami kesan jangka panjang terhadap fungsi otak.
Sebagai alternatif, beliau menyarankan agar ibu bapa memberi ubat demam berasaskan Paracetamol, dan segera membawa anak ke klinik atau hospital untuk ujian influenza jika demam berpanjangan.
Selain itu, rawatan antivirus boleh diberikan bagi kes influenza yang disahkan positif atau mempunyai simptom teruk.
Tiga Lagi Jenis Ubat Yang Perlu Dielak
Menurut Dr Low Dy-Win, selain NSAID, terdapat tiga jenis ubat lain yang tidak patut diberikan kepada kanak-kanak positif influenza:
- Aspirin
- Boleh menyebabkan Reye’s Syndrome, penyakit yang menyerang hati dan otak, dan berpotensi membawa maut.
- Ubat batuk Codeine
- Boleh melemahkan sistem pernafasan dan membahayakan nyawa.
- FDA Amerika Syarikat melarang penggunaannya untuk kanak-kanak bawah 12 tahun serta ibu menyusu.
- Antibiotik
- Tidak berkesan untuk influenza kerana ia berpunca daripada jangkitan virus, bukan bakteria.
Sebaliknya, doktor menyarankan rawatan antiviral dan pemantauan rapi di bawah pengawasan pakar sekiranya simptom semakin teruk.
Kesimpulannya, para ibu bapa diseru tidak sewenang-wenangnya memberi ubat tanpa nasihat doktor, memandangkan beberapa jenis ubat boleh membawa komplikasi serius , terutama kepada kanak-kanak yang dijangkiti influenza.
Selain itu kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.