Wasiyyah Shoppe Berhad mendedahkan bilangan kes hibah yang dicabar di mahkamah menunjukkan peningkatan ketara dalam dekad kebelakangan ini, berbanding hanya satu daripada 10 kes pada awal operasi syarikat sekitar 2004, memetik Kosmo Online.
Menurut Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin, kini lima hingga enam daripada 10 kes hibah berdepan cabaran di mahkamah.

Empat faktor utama dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan ini, termasuk tekanan ekonomi, keretakan institusi kekeluargaan, pengaruh pihak ketiga dan peningkatan nilai harta pusaka.
Adanya pengaruh daripada pihak ketiga seperti menantu atau ipar duai dan akhir sekali, nilai harta pusaka itu semakin meningkat mengikut masa.
Beliau turut mengulas isu tular berkaitan hibah takaful bernilai RM1 juta yang dibatalkan oleh mahkamah, menjelaskan ia melibatkan isu teknikal berkaitan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan hanya khusus untuk manfaat takaful.
Ariffin menegaskan bahawa hibah sepatutnya disahkan di mahkamah syariah, manakala pentadbiran pusaka di bawah bidang kuasa undang-undang sivil.
Terdapat bidang kuasa eksklusif di antara kedua-dua mahkamah syariah dan mahkamah sivil, yang mana urusan pengesahan hibah dilaksanakan di mahkamah syariah, manakala urusan pentadbiran harta pusaka dilaksanakan di bawah undang-undang sivil di Pejabat Pusaka Kecil dan Mahkamah Tinggi.
Justeru, Wasiyyah memperkenalkan perkhidmatan pengesahan hibah dan pentadbiran pusaka percuma kepada waris pelanggan mereka.
“Kes yang dicabar tidak boleh dielakkan, namun kami menang kesemua kes yang selesai setakat ini,” katanya.
Wasiyyah kini mengurus lebih RM50 bilion nilai harta pusaka bagi lebih 100,000 pelanggan, dengan lebih RM1 bilion telah diturunkan kepada waris sejak penubuhannya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.