Sebanyak 99,601 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) telah direkodkan di seluruh negara setakat minggu ke-17 tahun ini (berakhir pada 26 April), menunjukkan peningkatan sebanyak 266 peratus berbanding 27,236 kes bagi tempoh sama tahun lalu, memetik Bernama.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, 10,421 kes atau 10 peratus daripada jumlah tersebut dikenal pasti berpunca daripada wabak, manakala 89,180 kes lagi berlaku secara sporadik.
Lima negeri mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu Selangor (27.2 peratus), diikuti Johor (9.9 peratus), Perak (9.4 peratus), Kelantan (7.2 peratus) serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 6.9 peratus.
KKM turut memaklumkan bahawa sebanyak 38,285 premis telah diperiksa di seluruh negara melibatkan taska, tadika, tabika, prasekolah serta kediaman. Hasil pemeriksaan itu, 1,140 premis telah diarahkan tutup mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, manakala 430 premis lagi ditutup secara sukarela.
Setakat ini, tiada kematian berkaitan HFMD dilaporkan.
Tambah kenyataan itu lagi, 220 sesi libat urus dan taklimat telah dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di seluruh negara bagi tujuan pendidikan kesihatan untuk mengawal penularan HFMD.
KKM juga menasihati ibu bapa dan penjaga agar lebih berwaspada serta mengamalkan langkah pencegahan yang betul.
“Barangan peribadi seperti cawan, tuala dan berus gigi tidak boleh dikongsi. Kanak-kanak bergejala perlu segera mendapatkan rawatan dan dilarang menghadiri pusat jagaan atau tempat awam untuk mengelakkan penularan jangkitan HFMD,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.