Kes HFMD Meningkat 6.4% Minggu Lepas, Surat Amaran Dikeluarkan Kepada Semua Jabatan Kesihatan Negeri

Trending

Kes HFMD Meningkat 6.4% Minggu Lepas, Surat Amaran Dikeluarkan Kepada Semua Jabatan Kesihatan Negeri

Sebanyak 1,379 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di seluruh negara pada 5 hingga 11 Jun lepas, meningkat 83 kes atau 6.4% berbanding 1,296 kes minggu sebelumnya.

Advertisement

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata trend peningkatan kes HFMD mula dikesan sejak 24 hingga 30 April lepas iaitu 794 kes dicatatkan setelah melepasi paras amaran iaitu 644 kes seminggu.

“Kementerian Kesihatan mengeluarkan surat Amaran Peningkatan Kes HFMD di Malaysia pada 9 Mei lepas kepada semua jabatan kesihatan negeri supaya meningkatkan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mencegah dan mengawal penularannya,” katanya, lapor FMT.

Dr Noor Hisham berkata Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 4,441 kes, diikuti Johor (1,393), Kuala Lumpur (1,317), Sabah (1,299), Sarawak (1,108), Perak (892), Melaka (727), Pulau Pinang (713), Negeri Sembilan (522), Pahang (345), Kedah (265) dan negeri-negeri lain kurang daripada 200 kes.

Beliau berkata tiga daerah di Selangor yang tinggi bilangan kes adalah Petaling (1,626), Hulu Langat (1172) dan Klang (618).

Dr Noor Hisham berkata penyakit HFMD adalah endemik di Malaysia dan berlaku sepanjang tahun, serta mempunyai trend kitaran dengan kemuncak setiap tiga tahun.

Katanya walaupun penyakit itu disebabkan beberapa jenis virus dan kebanyakannya adalah ringan hingga sederhana saja, namun jangkitan dengan enterovirus 71 (EV71) boleh menjadi teruk dan seterusnya boleh membawa kematian.

Katanya, penyakit HFMD disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti kerana Coxsackie Virus A16 dan EV 71 dan merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis mereka yang berpenyakit dan tempoh inkubasi adalah antara tiga hingga lima hari.

Dr Noor Hisham berkata kebiasaannya jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah dengan hampir keseluruhan pesakit pulih tanpa rawatan perubatan dalam masa tujuh ke 10 hari.

Menurutnya kanak-kanak juga boleh mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit birit dan kurang selera makan.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis namun, ia jarang berlaku.

“Penyakit ini cepat menular dengan kadar hampir 100% dalam kalangan kanak-kanak kurang 10 tahun terutamanya di premis tempat tumpuan kanak-kanak seperti di taska atau tadika,” katanya.

Sehubungan itu, katanya ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda jangkitan perlu mengamalkan langkah pencegahan seperti tidak membawa anak ke tempat awam, sekolah, taska, tadika atau pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan.

Beliau berkata anak yang mempunyai tanda jangkitan juga perlu dibawa berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan, mengamalkan kebersihan dengan mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, dan selepas menyentuh atau merawat lepuh dan semasa mencuci najis kanak-kanak tersebut.

Permainan anak serta lantai rumah terutamanya tandas juga perlu dibersihkan dengan larutan klorin, selain menggunakan peralatan makan dan minum yang berasingan dan tidak berkongsi barangan dengan anak yang lain.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...