August 25th, 2017

Kisah perkahwinan penyanyi Hafiz Hamidun dan Siti Arifah Amin atau Joy Revfa masih hangat diperkatakan di media sosial. Dan ramai mungkin tidak pasti apakah sebenarnya yang menyebabkan keadaan menjadi rumit dalam kes tersebut.

Mungkin juga ramai yang merasakan peraturan-peraturan yang ditetapkan untuk seseorang berkahwin adalah merumitkan, tetapi percayalah ia sebenarnya dibuat untuk memudahkan. Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Madya Dr. Noraini Md Hashim, merasakan masalah yang timbul ialah terutamanya disebabkan kegagalan Siti Arifah dan bekas suaminya Ray Imran atau Mohd Rayos Abdul Rahman untuk mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia setelah melangsungkan perkahwinan di Songkhla, Thailand.

Ikuti pendapat beliau dengan membaca entri ini sepenuhnya:


Khas bagi mereka yang kurang jelas tentang kes Hafiz Hamidun dan Joy @ Siti Arifah Mohd Amin

Kes Hafiz Hamidun dan Siti Arifah, patut membuka mata masyarakat tentang kepentingan PENDAFTARAN perkahwinan dan perceraian bila ia berlaku. Benar, tiada ayat quran atau hadith jelas menyatakan wajib atau sunat mendaftar sesebuah perkahwinan namun demi maslahah terutama menjaga kebajikan terutama wanita dan anak-anak, maka pendaftaran diwajibkan di bawah Akta dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia.

Telah timbul kekalutan di awal-awal kes ini bila perkahwinan terdahulu Joy adalah tanpa keizinan mahkamah syariah iaitu di Songhkla bersama bekas suami terdahulu, Datuk Ray @ Mohd Rayos. Sekurang-kurangnya, bila telah kembali semula ke Malaysia, dia sepatutnya mendaftarkan perkahwinan tersebut, yang mana akan memudahkan urusan pernikahan itu supaya akan ada pembuktian perkahwinan secara hitam putih (didokumentasikan).

Masalahnya, pendaftaran perkahwinan tidak dibuat. Bila telah timbul masalah rumahtangga sebagai contoh didera, atau tidak diberi nafkah atau tidak ada keserasian dan lain-lain, sememangnya akan timbul kesusahan dan masalah di mana mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar kes tersebut.


Dalam kes ini, Joy menyatakan dia telah berpisah (separated dan bukan bercerai) dengan bekas suami lebih kurang dua tahun dan kemudian ingin berkahwin dengan HAFIZ HAMIDUN. Kemudian selepas berkahwin dengan HAFIZ HAMIDUN, baru memohon taaliq. Taaliq pula akan sempurna bila Mahkamah Syariah mengesahkannya.

Setelah itu barulah Joy boleh menyempurnakan Iddah. Di peringkat inilah timbul masalah utama di mana antara maklumat untuk berkahwin yang perlu dinyatakan adalah status perkahwinan!

Dan rentetan dari situ, macam-macam masalah dan andaian timbul. Secara ringkasnya:

Perkahwinan di Malaysia mesti mematuhi dua (2) syarat:
i. Di bawah hukum syarak – wajib atau perkahwinan menjadi tidak sah.
ii. Di bawah peruntukan Akta Wilayah Persekutuan atau Enekmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri – kegagalan memenuhi peruntukan menyebabkan perkahwinan atau perceraian atau rujuk tidak akan DIDAFTAR dan akan dikenakan penalti-penalti tertentu.

Yang paling penting, perkahwinan hendaklah DIDAFTAR untuk membolehkan Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa untuk mendengar, memerintah dan membantu pihak-pihak terlibat terutamanya wanita dan anak-anak.

Antara isu-isu dalam kes HAFIZ HAMIDUN dan SAMA:

1. Perkahwinan diakad di luar malaysia tanpa keizinan dan tidak DIDAFTAR
2. Taaliq oleh suami dalam bentuk taaliq (tersurat) iaitu secara WhatsApp (bertulis) yang memerlukan niat untuk membuktikan kesahihannya. Taaliq tidak akan berlaku sehingga Mahkamah Syariah mengesahkannya.
3. Adakah perceraian terdahulu telah DIDAFTAR.
4. Sekiranya dia seorang janda, perlu mengemukan satu surat perakuan cerai yg sah yang dikeluarkan di bawah undang-undang yang berkuatkuasa ketika itu.
5. Due deligence oleh pejabat agama iaitu langkah-langkah sepatutnya (reasonable steps) diambil bagi memastikan tidak ada pihak yang akan terjejas

Kesimpulannya:
1. Jangan kahwin tergesa-gesa.
2. Pastikan syarat-syarat nikah mengikut hukum Syara’ dipenuhi juga mengikut undang-undang yang sedia termaktub.
3. Perceraian juga sama juga seperti di atas.
4. Yang tidak ada ilmu, jangan tokok tambah dan menjadi hakim tanpa tauliah
5. Jangan jadikan media untuk mengaibkan pasangan masing-masing

Lagi satu, apa yang agak menggangu fikiran saya mengapa Pejabat Agama memberi kebenaran bernikah memandangkan:

1) Sijil cerainya tidak dikemukakan
2) Statusnya ‘tidak berkahwin’
3) Gambar-gambar perkahwinan bersama anak lelakinya yang berusia tiga tahun

Wallahu a’lam. Ini adalah pandangan peribadi dan akademik.

Noraini Md Hashim, Asst Prof. Dr
Pensyarah Undang-undang Keluarga Islam dan
Undang-undang Keluarga Sivil
Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Noraini turut menyertakan salinan mukasurat berkenaan undang-undang yang terlibat:

image

image

image

image

imageimage

Rasanya, apa yang berlaku pada perkahwinan Hafiz Hamidun dan Joy Revfa adalah rantaian peristiwa yang akhirnya membawa kepada keputusan sekarang ini. Sesuatu yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan mudah dan tertutup kini menjadi sulit dan terdedah kepada persepsi orang ramai.

Bersama kita doakan agar sesuatu yang terbaik akan menanti mereka berdua setelah selesai semuanya nanti. – beautifulnara.com

Sumber: Noraini Md Hashim


Comments are closed.

Loading...