Pelakon Lana Nodin enggan memberikan sebarang komen berhubung sumpah laknat yang dibuat oleh penyanyi Norshila Amin bagi membuktikan dirinya tidak bersalah menipu wang artis dalam sebuah ekspo di Brunei dan mendakwa Lana Nodin memfitnah dirinya atas tuduhan mengamuk dan mengganggu pekerja Lana di sebuah ekspo di Singapura.
Lana bakal mengadakan satu sidang media dalam masa terdekat dan sudah menyerahkan hal berkaitan kes pergaduhan ini kepada peguamnya.
Sebenarnya saya tidak sangka kes ini jadi besar. Memandangkan pihak di sana membuat sidang media, saya terpaksa meminta nasihat peguam untuk tindakan selanjutnya. Saya tidak mahu bercerita panjang hal ini, biar selesai urusan perniagaan di Singapura barulah saya buat sidang media.
Shila mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Lana atas fitnah tersebut. Namun, Shila juga memberitahu beliau masih lagi ingin cuba untuk menyelesaikan isu berkenaan secara baik jika Lana bersetuju untuk bertemu empat mata dengannya.