Seperti yang diketahui semua, protes di Hong Kong masih lagi berlangsung dan masih belum menemui jalan penyelesaian yang terbaik. Yang terbaru pula, larangan pakai topeng muka ketika protes dikuatkuasakan di Hong Kong.
Untuk anda yang tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dan macam mana protes ini semua bermula, kami kongsikan ringkasan insiden yang mencetuskan protes besar-besaran di Hong Kong ini.
Rang undang-undang ekstradisi
Semuanya bermula apabila satu kes jenayah dilakukan oleh penduduk Hong Kong di Taiwan. Pada tahun 2018, pasangan kekasih rakyat Hong Kong, Chan Tong Kai dan Poon Hiu Wing bercuti menyambut Hari Valentine di Taiwan.
Menurut rakaman CCTV hotel, hanya teman lelakinya sahaja yang pulang selepas sembilan hari di sana. Sebulan kemudian, Chan mengaku telah membunuh teman wanitanya semasa di Taiwan. Yang menjadi masalahnya, Hong Kong tidak boleh mendakwa Chan kerana jenayah itu dilakukan di Taiwan.
Hong Kong juga tidak boleh menghantarnya ke Taiwan untuk dihukum kerana kedua negara ini tidak mempunyai perjanjian ekstradisi. Ekstradisi ni maksudnya pengembalian penjenayah ke negara tempat jenayah dilakukan.
Satu negara dua sistem
Disebabkan masalah daripada kes jenayah tu, Hong Kong cadangkan satu rang undang-undang ekstradisi untuk selesaikan masalah. Tetapi cadangan ini tak disambut baik oleh rakyat Hong Kong. Secara teknikalnya, Hong Kong terletak dalam negara China tetapi mereka mengamalkan konsep ‘satu negara dua sistem‘.
Dan ini akan melibatkan China, negara yang sewenang-wenangnya penjarakan rakyatnya jika mereka tidak menyukai kerajaan. Rakyat Hong Kong juga tidak mahu China mempunyai kuasa pada rakyat mereka. Di situ lah bermulanya protes besar-besaran rakyat Hong Kong.
Protes besar-besaran
Berdasarkan perjanjian, konsep ‘satu negara dua sistem‘ tidak akan kekal sampai bila-bila. Pada tahun 2047, Hong Kong dijangkakan menjadi sebahagian dari China secara sepenuhnya. Tapi Hong Kong ingin melambatkan proses itu dari berlaku.
Kalau anda nak tahu lebih lagi tentang protes ini, boleh baca kronologi protes yang dilakukan di artikel berkaitan Protes Hong Kong 2019.
Sumber: VOX