Melalui laporan Harian Metro, kes berprofil tinggi melibatkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terus mencuri perhatian apabila pihak Pendakwa Raya tampil memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan mempertikaikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskan beliau dari semua sabitan.
“Rafiq Hakim mencerminkan kebenaran”
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Mahkamah Rayuan telah terkhilaf apabila menyatakan bahawa SPRM menekan saksi utama, iaitu Rafiq Hakim Razali, supaya mengubah keterangannya bagi menyebelahi pendakwaan.
Mahkamah Rayuan juga tersilap menilai keterangan pendakwaan, terpengaruh dengan tanggapan bahawa SPRM dan pendakwa raya telah menggunakan Rafiq Hakim untuk memberi keterangan yang buruk, yang menyebabkan keterangannya ditolak. Sebenarnya, apabila dilihat secara keseluruhan, keterangan Rafiq Hakim mencerminkan kebenaran seperti yang disahkan semasa pemeriksaan balas.
Pendakwa raya turut berhujah bahawa Mahkamah Rayuan gagal menilai keseluruhan bukti dan hanya membuat penilaian terpilih, menyebabkan berlakunya salah laksana keadilan.
Dakwa pembelaan Syed Saddiq penafian yang difikirkan kemudian?
Wan Shaharuddin juga mendakwa bahawa pembelaan Syed Saddiq hanyalah penafian yang difikirkan kemudian dan tiada bukti kukuh yang dapat menyangkal keterangan pihak pendakwaan.
Hakim-hakim Mahkamah Rayuan juga terkhilaf apabila mereka memilih untuk menilai semula bukti, tetapi melakukannya secara terpilih, mengakibatkan salah laksana keadilan yang tidak boleh diperbetulkan.
Didakwa menyalahguna untuk kepentingan peribadi
Sekadar info, 22 Julai 2021, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia ketika itu yang diamanahkan dengan kawalan dana ARMADA, bersubahat dengan Rafiq Hakim dalam melakukan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan RM1 juta (RM1 juta) dana organisasi itu.
Dalam pada masa yang sama, beliau juga didakwa menyalahgunakan harta untuk kepentingan peribadi iaitu sebanyak RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu.