Sesiapa sahaja pasti akan mengingati kerusi kayu lama yang beralaskan kusyen pelbagai corak yang menarik. Mana tidaknya, kusyen tersebut yang menjadi dinding ‘kubu’ permainan ketika zaman kecil-kecil dahulu.
Lama-kelamaan kerusi tersebut akhirnya ditelan zaman kerana terhasilnya pelbagai sofa yang moden dan lebih menarik. Pemilik akaun Facebook Fithry Anaqi berkongsi langkah ‘makeover’ kerusi kayu lama sehingga berubah wajah kepada set sofa yang lebih eksklusif.
Beli kerusi ‘secondhand’
Menurut perkongsian Fithry, kerusi tersebut dibeli olehnya di kedai perabot terpakai. Kerja-kerja penambahbaikan dilakukan untuk menaikkan seri kerusi ‘lejen’ tersebut. Posting ini juga mendapat hampir 3 ribu perkongsian dalam masa sehari.
Ketatkan kayu yang longgar
Pertama sekali, mulakan dengan langkah pengubahsuaian kerusi dengan mengetatkan semula kayu di bahagian kerusi yang longgar. Tambahan lagi, kerusi yang dibeli daripada kedai terpakai memerlukan proses penyelenggaraan terlebih dahulu.
Gantikan cat lama
Setelah kerosakan kerusi tersebut diperbaiki, kayu-kayu kerusi perlu diasingkan untuk memudahkan proses membuang cat lama. Proses ini juga penting untuk memastikan cat baru lebih tahan lama pada kerusi tersebut. Untiuk menonjolkan warna mewah, kerusi tersebut dicat dengan warna keemasan.
Tambah aksesori kerusi
Setelah selesai proses mengecat semula kerusi, penambahan aksesori di kerusi pula ditambah. Aksesori tambahan ini akan memberikan ciri moden kepada kerusi tersebut. Namun, penambahan aksesori ini bergantung kepada citarasa masing-masing.
Sentuhan terakhir
Kerusi yang telah siap dipasang aksesori akan dipasang dengan pilihan kusyen yang bersesuaian. Pemilihan warna kusyen yang mempunyai kontra yang sepadan dengan warna kerusi akan memberi impak yang elegan dan moden.
Proses DIY mengubahsuai perabot lama seperti ini memerlukan kreativiti dan kerja keras seseorang. Namun, penghasilan hasil kerja seperti ini tidak mustahil untuk dilakukan.