Pelakon dan juga penyanyi, Mark Adam diumum sebagai penyampai baharu menggantikan Shuk Sahar sebagai penyampai radio Hot FM yang sebelum ini telah digantung sementara bermula pada hari ini.
Dia yang akan bersama-sama dengan Fizie dalam segmen Geng Pagi Hot (GPH) berkata keputusan untuk menyertai kerjaya sebagai penyampai radio itu bukanlah keputusan yang mudah kerana kariernya kini telah berubah sehingga 360 darjah.
Menganggap tugas sebagai juruhebah radio bukan sekadar pekerjaan, Mark menjelaskan bahawa peluang yang datang ini merupakan satu tanggungjawab besar untuk digalas di bahunya.
View this post on Instagram
“Namun saya sedar peluang sebegini bukan datang selalu dan terus membuat keputusan untuk menyertai Hot FM. Peluang ini juga memberi ruang untuk saya mencabar diri untuk mencuba sesuatu yang baru.”
Penyanyi lagu Pencuri dalam pada itu turut berkata bahawa dia sememangnya sedar tentang kekurangan diri yang tidak fasih untuk berbahasa melayu namun tidak menjadikan ianya sebagai penghalang untuk menghiburkan para pendengar di luar sana.
Difahamkan juga Mark bakal menduduki konti Hot FM selama tempoh sebulan bersama rakan penyampai, Fizie.
View this post on Instagram
“Sememangnya perasaan sangat teruja untuk ke udara, tetapi rasa gugup memang ada kerana bukan mudah untuk menghiburkan pendengar menerusi radio. Kalau di program TV, saya tak cakap apa-apa pun orang sudah terhibur dan boleh bergelak ketawa. Tetapi di radio saya kena sentiasa ada idea untuk dilontarkan dan pastikan para pendengar memahami informasi yang disampaikan.”
Terdahulu, GPH dikendalikan oleh tiga orang penyampai radio iaitu Fizie, Shuib Sepahtu dan Shuk Sahar. Namun pada penghujung Januari lalu, Shuib telah mengambil keputusan untuk menamatkan tugas secara sukarela kerana ingin memberi tumpuan kepada perniagaan. Pada 25 Januari lalu, pihak pengurusan Hot FM telah menggantung kerja Shuk setelah dia terpalit dengan isu kontroversi rumah tangga dan sehingga kini pihak berkaitan menjelaskan bahawa isu tersebut masih dikaji dan dalam perbincangan dan sebarang pengumuman akan diumumkan kelak.