Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), mengumumkan bahawa langkah sitaan simpanan kewangan akan dikenakan terhadap bekas suami atau bapa yang gagal melaksanakan tanggungjawab untuk membayar nafkah.
Langkah ini sedang dilaksanakan oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan kini dalam proses perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM). Menurut laporan Berita Harian, usaha ini bertujuan menguatkuasakan kewajipan nafkah kepada mereka yang culas.
Pelbagai cara diambil pegawai BSK untuk menguatkuasakan perintah kewajipan nafkah. Antara yang dibuat adalah supaya BSK melalui JKSM dapat mengeluarkan satu perintah supaya simpanan penghutang penghakiman disita oleh mahkamah.
Dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, beliau turut menjelaskan bahawa tindakan penguatkuasaan terhadap akaun yang gagal membayar nafkah ini diperkuat dengan kerjasama antara agensi-agensi seperti LHDN, JPJ, SSM, PERKESO, dan JPN bagi menjejaki majikan dan alamat penghutang.

BSK juga bertanggungjawab melaksanakan perintah nafkah daripada mahkamah syariah, selain menyediakan pendahuluan nafkah kepada penerima nafkah seperti bekas isteri dan anak-anak, untuk memastikan kelangsungan hidup mereka sementara menunggu penyelesaian prosiding di Mahkamah Syariah.
Inisiatif ini memastikan kelangsungan hidup mereka tidak terjejas akibat kegagalan atau kecuaian pihak penghutang penghakiman dalam melaksanakan kewajipan nafkah, sementara menunggu prosiding di Mahkamah Syariah diselesaikan atau tunggakan nafkah dibayar.
Unit Khidmat Nasihat di bawah BSK turut memberi bantuan kepada isteri dan anak-anak dalam usaha menjejaki individu yang berhutang nafkah, memastikan hak mereka terlindung dan dibayar. – Berita Harian
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
