Kejadian kereta yang membawa sejumlah mercun bola yang banyak dan mengakibatkan letupan yang kuat dipercayai akibat mangsa menghisap rokok di dalam kenderaan yang dibawanya, lapor Berita Harian.
Walau bagaimanapun, Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, punca sebenar kejadian belum dapat disahkan kerana menunggu siasatan Unit Forensik dan Unit Bom Bukit Aman.
“Ada saksi mendakwa, mangsa menghisap rokok dan membuka sedikit tingkap sebelum letupan berlaku ketika kenderaan berhenti di lampu isyarat”
Hasil analisis termasuk punca kejadian dijangka diperoleh tidak lama lagi, katanya dalam sidang media ketika meninjau Kampung Terusan Limbat, Pasir Tumboh.
Kejadian yang berlaku pada jam 5.38 petang di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh semalam, mangsa Wan Hassan Wan Ali, 49, maut di tempat kejadian manakala lima kenderaan lain yang terkena kesan letupan itu turut terbakar.
Insiden itu menyebabkan kereta yang dipandu mangsa rentung dan terputus dua selain empat kenderaan lain turut rosak serta empat mangsa lain cedera termasuk seorang cedera parah.
“Letupan itu agak kuat sehingga mengakibatkan kesan dalam radius 100 meter termasuk kenderaan berdekatan masjid, rumah penduduk dan tadika” – Ketua Polis Kelantan
Mangsa lain dan penduduk di sekitar belum membuat laporan polis, jadi hal itu menyukarkan untuk mengetahui jumlah nilai kemusnahan akibat kejadian.
Mangsa dilaporkan mempunyai dua rekod kesalahan dadah serta pecah rumah sebelum ini dan polis menyiasat sama ada mangsa terlibat dengan aktiviti penyeludupan mercun atau tidak.