Seperti yang kita tahu, masalah berkaitan haiwan ternakan seperti kerbau dan lembu yang berkeliaran bukanlah satu isu yang asing lagi dalam negara kita. Ianya adalah satu masalah yang sudah berlarutan sejak dahulu lagi.
Malahan, sudah banyak insiden dan tragedi yang menimpa pengguna jalan raya disebabkan masalah haiwan ternakan berkeliaran ini yang membuatkan kita jadi bimbang.
Namun, masih ada segelintir pemilik haiwan ternakan ini yang mempunyai sikap acuh tidak acuh berkenaan masalah ini. Mungkin bagi mereka, ianya adalah lumrah jika duduk di kawasan yang mempunyai ladang ternakan haiwan.
Lebih teruk lagi, ada juga yang tidak mahu bertanggungjawab bahkan menyalahkan orang lain apabila haiwan ternakan mereka menyebabkan insiden tidak diingini berlaku. Kenapa lah perlu sampai begini ya?
Seorang lelaki bertindak memuat naik video dan gambar di media sosial sebagai bukti bagi mencari pemilik kerbau selepas keretanya disondol kerbau tersebut.
Tular baru-baru ini di laman media sosial Facebook, sebuah perkongsian gambar dan video oleh seorang pengguna yang memaparkan seorang lelaki yang terperanjat melihat ada seekor kerbau berada berhampiran kereta miliknya di dalam rumah.
Kejadian tersebut difahamkan berlaku di kawasan perindustrian Klebang Bistari, Ipoh, Perak. Lelaki tersebut lebih terperanjat apabila dia menghampiri keretanya dan melihat terdapat kesan kemek serta cermin sisi patah pada bahagian kiri kereta akibat disondol oleh kerbau itu.
Atas tujuan mahu meminta ganti rugi daripada pemilik kerbau tersebut, lelaki itu telah berkongsi video dan gambar di dalam sebuah Facebook Group untuk mendapatkan pertolongan orang ramai bagi mencari siapakah pemilik kerbau yang berada di berhampiran kawasan perindustrian itu.
“Tangkap jual saja bang, tuannya takkan mengaku. Saya pernah kena macam ni, 10 ekor saya jual alhamdulillah senang hati bayar repair kereta.”
Perkongsian lelaki tersebut telah meraih tumpuan netizen di media sosial dan rata-rata turut bersimpati dengan nasib yang menimpa pemilik kenderaan jenis Proton Saga itu.
Ada juga yang menyarankan lelaki tersebut supaya melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut serta bagi mencari pemilik kerbau yang berkeliaran itu.
Pendapat anda? Kongsi bersama kami di Facebook dan Telegram AmazingNara