Kerana Perniagaan MLM, Siswazah Hilang Pekerjaan, Bakal Jadi Muflis

Trending

Kerana Perniagaan MLM, Siswazah Hilang Pekerjaan, Bakal Jadi Muflis

Pastinya pernah kawan-kawan zaman sekolah anda yang sudah lama tidak bertemu, dan tidak begitu rapat dengan anda. Tetapi tiba-tiba dia menghubungi anda dan ingin berjumpa. Mungkin ia sesuatu yang baik, bagaimanapun, biasanya ia kerana ada udang di sebalik batu.

mlmBegitulah yang terjadi kepada siswazah malang ini. Kerana percayakan kawan lama, dia menangggung hutang sehingga hampir seratus ribu dan bakal menjadi muflis. Ikuti kisahnya:

Advertisement

Assalamualaikum terima kasih kerana menyiarkan kisah ini.

Kisah benar mengenai ujian yang menimpa hidup aku. Kebiasaannya kita selalu mendengar ayat hikmah yang berbunyi: Allah tidak akan menguji hamba-Nya, mengikut kemampuan hamba-Nya.

Pada tahun 2013, aku menamatkan pengajian di sebuah universiti tempatan. Sebaik lima bulan tamat kursus kerjaya aku diterima bekerja di sebuah syarikat Jepun.

Kisahnya bermula pada hujung akhir tahun 2013, sahabat lama aku secara tiba-tiba menghubungi aku. Biasalah, kawan lama hubungi aku untuk bertanya khabar.

Pada mulanya, aku tidak berprasangka buruk pun pada dia walaupun kami bukan kawan rapat masa zaman universiti dulu. Apabila ditanya mengenai kerjaya dia, kawan aku tu kata dia dah berjaya buka sebuah spa kecantikan hasil usahanya sendiri di KLCC. Siap pelawa aku lagi sertai kursus keusahawanan dia.

Dia pun bangga sebab tak perlu hidup makan gaji lagi lepas universiti. Dia ajak aku sertai program tersebut, tapi aku tak nak sebab masa tu aku sangat sibuk dengan pembentangan kerja.

Dari hujung tahun 2013, hinggalah ke tahun 2014, aku masih lagi bekerja di syarikat yang sama. Baru sahaja genap lapan bulan bekerja kawan aku tadi tiba-tiba hubungi semula aku.

Kali ni betul-betul ajak jumpa dan dia siap tanya bila hari yang aku cuti, sebab dia nak jumpa.

Pendekkan cerita, dia datang ke rumah aku pelawa aku ke spa dia dan tunjuk dekat aku bisnes yang dia tengah buat sekarang.

Mula-mula kata nak bawa pergi spa lepas tu aku dibawa pergi ke sebuah tempat. Tempat itu ramai orang pakai baju yang segak semua, macam sibuk buat sesi perkongsian prospek.

Masa itu hati tak terlintas pun nak cakap benda tu perniagaan MLM, sebab kawan aku kata itu semua rakan kongsi dia yang buka spa secara francais. Aku pun percaya bulat-bulat kata dia, dia bawa aku jelajah dalam tempat tu dari mula bertemu dengan orang baru sampailah kepada produk-produk.

Aku cuma ikut saja dia, tak banyak cakap. Lepas tu depan kawan-kawan dia ajak, terus letak sehelai borang ahli, dan kata yuran ahli dalam RM 80. Aku masa itu dah terkebil-kebil, dalam dompet tak bawa duit. Dia cakap tak apa isi saja.

Orang selalu pesan kalau ada masalah tak patut cerita dekat orang yang salah. Aku memang tak berminat nak cerita, tapi hari kejadian tu, aku adalah cerita sedikit masalah biasa.

Okaylah, mula-mula macam banyak bagi sokongan, pura-pura ambil berat tapi tak sangka pula kawan aku ni ada udang di sebalik mee!

Sejak kunjungan aku ke spa tu kawan aku setiap hari Whatssap aku, ajak join buka spa macam dia dan berjaya macam dia. Dia siap tunjuk slip gaji lagi adalah angka RM 5,000 – RM 8,000 katanya hasil dia buat bisnes join spa ni. Tempat ni agak terkenal. Orang panggil segitiga emas di kawasan KLCC. Boleh saja naik tren nak ke tempat ni.

Senang jumpa tapi ramai orang tak tahu disebalik bangunan yang gah di tengah-tengah bandar KL tu ada tempat puaka ni. Minggu pertama ajak aku keluar modal RM 2,500 siap tanya bila gaji aku bulan ni nak masuk? Simpanan ASB ada berapa? Ada emas simpanan tak?

Jadi aku yang lurus bendul ni ceritalah kat dia semua. Kebetulan dah hujung bulan 3, gaji aku keluar dia suruh kumpulkan semua modal cukupkan jumlah RM 2,500 itu.

Aku ikut semua cerita dia sebab masa tu fikir nak belajar bisnes. Kemudian tak sampai seminggu aku labur RM 2,500 itu, dia sekali lagi minta aku buat pinjaman. Aku memang teragak-agak sebab aku tak nak berhutang.

Kali ni dia Whatsapp aku dan masukkan aku dalam group chat Whatssap dalam tu. Ramai rakan-rakan kongsi baru dapat Whatssap selamat datang dan ucap tahniah dan minta aku fight cash untuk level seterusnya.

Nak tau fight untuk apa? Fight modal tunai atau pinjaman RM 30,000. Sebelum fight tu kawan aku dan geng dia bawak aku pergi ceramah keusahawan yang kononnya anjuran 1Malaysia. Dalam tu ramai bekas jurutera dan penjawat awam yang berhenti kerja untuk sertai bisnes ini. Pakai baju segak dan kereta sport yang tak kalah pada jutawan-jutawan di malaysia ni.

Lepas balik dari ceramah tu terus kawan aku bawa aku dan team dia lepak kedai mamak area berdekatan, katanya nak buat sesi perkongsian. Pendekkan cerita, kawan aku terus letak tiga kertas pinjaman untuk aku tulis dan bagi tahu bertapa hebatnya bisnes ni. Sampailah pukul 3.00 pagi aku masih di KL sesi perkongsian.

Balik rumah kawan aku hantar dalam pukul 6.00 pagi, baru aku sampai rumah. Dahlah waktu itu, aku masuk kerja pagi. Pergi kerja pun dah mengantuk sangat-sangat. Memang tak ada kualiti kerja sejak terjebak dengan benda ini.

Kali ini, terus Whatsapp aku minta semua dokumen. Memang tujuan aku nak tolong keluarga aku dalam bisnes, tapi aku ikutkan saja kawan aku ini. Dia memang bijak manipulasi minda bawah sedar aku. Kali ni macam memaksa minta aku sediakan borang untuk buat permohonan semua pinjaman peribadi.

Pendekkan cerita aku diminta ambil cuti untuk selesaikan hal urusan pinjaman peribadi aku. Aku ingat lagi hari itu, aku dengan kawan aku pergi semua bank di kawasan KL untuk hantar permohonan pinjaman.

Kawan aku itu suruh aku fight pinjaman RM 30,000. Bila aku tak nak, dia memaksa dan bawa aku pergi jumpa kawan-kawan dia untuk brainwash aku. Sampai lembik dibuatnya aku.

Otak aku disuruh untuk berfikiran positif sebab masa itu aku dah sangat negatif sebab banyak terbaca artikel pasal ppenipuan bisnes ini. Mereka minta aku rahsiakan benda ni dari mak dan ayah. Katanya dah berjaya buat pendapatan, baru bagi tahu emak ayah. Musykil betul, tapi masa tu tak fikir lagi akibat dia.

Dalam masa dua minggu penyertaan aku lulus semua pinjaman. Bukan satu bank, tapi tiga bank! Banyak betul. Yang paling best aku ada bagi tahu kawan aku yang aku nak berhenti tapi aku ditahan.

Masa itu aku tak boleh nak cakap apa sebab kad bank aku semua ada pada dia. Dia call aku ajak jumpa untuk aku saksikan duit RM 30,000 dikeluarkan untuk masuk bisnes itu.

Lepas aku masuk, aku dapat barang yang aku sendiri tak pilih! Tiba-tiba saja dah sampai depan rumah.

Lepas saja aku masuk, kawan aku sibuk nak kahwin, jadi memang dia tinggal aku macam itu saja.

Kawan-kawan dia tu pula aku tak rapat sangat, tapi bila dah masuk, semua macam sangat sibuk cari rakan kongsi baru. Memang masa tu, aku rasa kena game! Sebab ini bukan bisnes, tapi ni MONEY GAME!

Barang-barang pula harganya RM 600 satu barang. Logik ke harga tu?

Dia cakap dia sangat sibuk, “kau pergilah cari orang, buat teknik yang macam mana aku buat.”

Ya Allah, betapa geramnya aku! Kata bisnes tak cari orang tapi kenapa sekarang cari orang? Awal-awal lagi dah putar belit cerita.

Kesan daripada sertai bisnes MLM itu, aku terus dilanda kemurungan yang teruk sampai aku terpaksa berhenti kerja. Ada seketika aku nak bunuh diri, rasa diri nak sewel, sebab aku tanggung hutang yang banyak.

Sejak tak kerja, aku tak mampu bayar, sampailah rahsia aku pada ibu bapa aku terbongkar. Sebab aku selalu stres dan jatuh sakit, akhirnya satu keluarga tahu yang aku dipermainkan.

Aku ada buat laporan polis, tapi polis tak layan sebab kes atas kerelaan aku dan mereka ada resit jual beli dengan syarikat yang berlesen.

Aku sedar nasi dah jadi bubur masa tu memang tak boleh buat apa, komitmen bayaran bank pula ialah RM 1,000 sebulan itu. Belum termasuk kereta aku, jadi memang gaji aku RM 2,000 lebih dah tak cukup nak tampung hutang ini.

Dah nak dekat RM 100,000 dengan bunga-bunga dia! Aku memang buntu, diam terduduk menangis. Dahlah lepas berhenti kerja, nak dapat kerja balik susah sangat.

Sampailah aku cuba bangkit. Akhirnya awal 2015, aku dapat kerja secara kontrak selama lapan bulan di sebuah syarikat. Masa tu memang kerja tetapi gaji bayar hutang. Setiap hari bank hubungi aku minta bayaran, sehinggakan aku tak mampu bayar lagi semua hutang-hutang MLM tu.

Betapa stresnya aku dengan gaji yang kecil, aku nak bayar hutang-hutang itu. Tuhan saja yang tahu perasaan aku macam mana! Kawan aku dah lari. Dia pun dah sekat semua: Facebook dan nombor telefon aku. Jadi tinggallah aku seorang diri menanggung hutang.

Dalam kita susah, hanya keluarga saja yang dapat bantu kita, bukan orang lain. Aku bersyukur aku ada tempat nak pergi, dan sekarang ni setiap hari bank telefon minta semua bayaran tertunggak, sampai aku jadi seorang yang paranoid dengan setiap panggilan telefon.

Sekarang ini, aku menunggu tindakan mahkamah untuk bankrupsi. Sebab aku betul-betul tak mampu bayar, dengan gaji sekecil ini.

Baru sekarang aku tahu erti syukur dengan kehidupan yang lama, salah aku juga sebab buat dosa tak cerita perkara ini sebelum terjebak.

Jadi adik-adik siswazah semua janganlah terjebak dengan money game, kelak diri sendiri yang merana. Dah macam-macam kerja aku buat cari duit extra, dari kerja jaga anak orang sampailah ambil upah isi cecair dalam botol. 1 hari 200 – 300 botol dengan bayaran 20 sen 1 botol.

Sekarang kereta aku tak mampu bayar tunggu hari kene tarik.

Kawan-kawan aku yang tak terkena money game, happy saja hidup mereka. Jadi adik-adik kalau tak nak rasa azab bertahun- tahun susah, janganlah buat sesuatu yang merosakkan masa depan.

Kalau betul minat nak buat bisnes, mulalah dengan bisnes yang modalnya kecil.

Insya-Allah selamat kehidupan adik dari berhutang azab seumur hidup. Yang penting berhati-hatilah dengan siapa yang adik kawan sebab tak semua ada niat yang baik nak berkawan dengan kita.

JAUHKAN DIRI DARI MLM,

Sekian, terima kasih.

Siswazah Malang

– NHB

Sudah bertahun-tahun ramai orang tertipu dengan perniagaan teknik pemasaran berbilang tingkat ini. Macam ini, jika seseorang menrapati anda dan meminta ada membuat pinjaman peribadi dari bank untuk ‘melabur’ dalam perniagaannya, ia biasanya berbentuk money game. Percuma / gratis saja anda buat pinjaman kemudian duit pinjaman itu dia ambil atau anda beri padanya, sedangkan bayaran bulanannya anda yang perlu tanggung. Jadi berhati-hatilah. –amazingnara.com

Sumber: IIUMC

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...