June 9th, 2017

Dalam diam, sudah lebih seminggu kita berpuasa. Tak lama lagi Aidilfitri akan menjelma. Pantas sungguh masa berlalu. Masih segar di ingatan sambutan Syawal tahun lepas. Meriah. Banyak betul rendang, ketupat dan lemang yang Abang Nara makan. Main bunga api di malam raya. Lepak sampai ke pagi makan kuih raya. Lepas tue pergi konvoi raya beramai-ramai melawat saudara mara dan macam-macam lagilah.

1

Namun di sebalik kemeriahan berhari raya, ada satu perkara yang cukup menakutkan telah berlaku pada Aidilftri tahun lalu.

2

Ketika umat Islam sedang bergembira menyambut Aidilfitri, kita dikejutkan dengan kematian beberapa orang kanak-kanak di Melaka dan Kedah akibat jangkitan virus difteria. Sebanyak satu (1) kes yang disahkan difteria di Melaka telah dilaporkan meninggal dunia pada 18 Jun 2016. Manakala satu (1) kes disyaki difteria di Kedah yang berumur dua (2) tahun meninggal dunia pada 22 Jun 2016 pagi. Kedua-dua kes kematian tidak menerima imunisasi difteria yang lengkap dan meninggal dunia kerana komplikasi jangkitan.

3

Untuk makluman, penyakit Difteria yang menyebabkan kanak-kanak sukar bernafas, kerosakan pada saraf dan jantung, lumpuh dan boleh membawa kepada kematian. Paling menyedihkan, penyakit Difteria ini sebenarnya penyakit yang sudah hilang selepas imunisasi/suntikan vaksin diperkenalkan di Malaysia. Namun kewujudan ibu bapa yang menggelarkan diri mereka “anti-vaksin” telah membuatkan penyakit difteria muncul kembali, sekaligus membahayakan kanak-kanak kecil yang sistem imunitinya masih belum matang.

4

imunisasi yang lengkap menerusi suntikan vaksin telah terbukti berjaya mencegah difteria

Menjelang Aidilfitri ini, Abang Nara ingin mengajak para pembaca BeautifulNara yang bergelar ibu dan bapa untuk bertanggungjawab dan memastikan anak anda mendapat imunisasi yang sepatutnya sebelum pulang ke kampung. Selain bertindak mengawal penyakit berjangkit seperti difteria, polio, kancing gigi dan tibi, imunasisi melalui pengggunaan vaksin merupakan satu proses pembentukan imuniti atau perlindungan kepada individu yang mempunyainya. Selain itu di bawah adalah beberapa kepentingan imunisasi:-

1. Imunisasi memberi faedah kesihatan kepada kanak-kanak kerana dapat mengelakkan daripada dijangkiti pelbagai penyakit berjangkit yang serius yang boleh mengakibatkan kecacatan dan kematian.
2. Kebanyakan penyakit berjangkit ini tidak mempunyai rawatan khusus dan boleh mengakibatkan kesan sampingan dan komplikasi yang teruk dan kekal.
3. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Imunisasi juga dapat mengelakkan kesengsaraan yang dialami oleh kanak-kanak itu dan juga ahli keluarga.
4. Imunisasi dapat mengelak daripada berlakunya kejadian epidemik dan wabak penyakit berjangkit.
5. Imunisasi juga dapat mengurangkan atau membasmi sesetengah penyakit seperti polio, neonatal tetanus dan difteria.
6. Imunisasi merupakan satu-satunya intervensi kesihatan yang kos-efektif.

5

jadual imunisasi yang lengkap untuk anak-anak kita

Dari segi Islam, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa harus untuk pengambilan vaksin. Malah ketika penyakit difteria ini menyerang Malaysia pada tahun lepas, beberapa orang mufti telah mengeluarkan fatwa “WAJIB” untuk imunisasi. Salah seorang daripada mufti tersebut ialah mufti Kelantan yang menyelar tindakan sesetengah ibu bapa yang “mengharamkan” suntikan vaksin sedangkan mereka tiada kepakaran di dalam bidang tersebut. Secara jujurnya, Abang Nara memang geram dengan golongan ibu bapa anti-vaksin ini. Kerana kedegilan mereka, anak-anak kita yang terdedah kepada bahaya penyakit-penyakit yang boleh membawa maut ini.

6

Banyak lagi mitos, fakta dan kepentingan imunisasi yang akan Abang Nara kongsikan pada anda semua. Namun untuk hari ini, marilah kita bersama-sama #LengkapkanImunisasi dan #JanganLupaCucuk vaksin kepad anak-anak kita, lebih-lebih lagi dah nak dekat Aidilfitri ini. Jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab. Anak itu adalah amanah kita. Kesihatan mereka adalah tanggungjawab kita. Sama-sama kita sempurnakan imunisasi si permata hati kita itu. Maklumat lanjut layari www.moh.gov.my dan juga Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia.


Comments are closed.

Loading...