Akhirnya individu bujang yang layak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) akan menerima bantuan tersebut pada akhir Mac depan.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng. Menurutnya, bayaran kepada golongan bujang yang berdaftar dalam pangkalan data BSH 2018 itu akan memanfaatkan lebih tiga juta individu dan melibatkan peruntukan sebanyak RM300 juta.
Berhubung bayaran selanjutnya, Lim berkata kadar bantuan BSH 2019 untuk golongan bujang akan dikaji semula dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan.
Berdasarkan keputusan Kabinet pada tahun lepas, BSH 2019 mengutamakan penerima yang berkeluarga serta menyediakan kadar tambahan mengikut bilangan anak di bawah tanggungan.
Namun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menekankan bahawa isu tekanan kos sara hidup perlu diberi perhatian kepada semua pihak yang memerlukan dalam masa terdekat.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden Pakatan Harapan juga menyarankan supaya bantuan diberikan kepada anak muda bujang yang berpendapatan kecil.