Sebagai usaha untuk mencapai misi herd immunty, kerajaan kini menyasarkan untuk memberi sebanyak 200,000 dos vaksin sehari kepada penerima berdaftar menjelang 31 Julai.
Tindakan ini susulan kejayaan memvaksinasi 100,000 orang sehari secara purata sejak 27 Mei lalu.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan berkata, kerajaan juga akan membuka 74 pusat pemberian vaksin (PPV) tambahan mulai esok yang merangkumi PPV mega, awam dan PPV AstraZeneca di bawah Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).
“Dalam tempoh 100 hari, negara telah meningkatkan kapasiti dan menggembleng tenaga yang ada untuk memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dipercepatkan walaupun harus bersaing dengan negara-negara maju untuk mendapatkan vaksin”
PICK mencapai hari ke-100 hari ini selepas fasa pertama program pelalian terbesar negara itu dimulakan pada 24 Februari lalu yang turut menyaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama divaksin.
Berdasarkan keterangan MOSTI, pada hari ke-100, kerajaan kini sedang giat memastikan lebih ramai orang dapat divaksinasi secepat mungkin. Selain kes yang semakin meningkat, kesihatan rakyat juga menjadi keutamaan.
Kerajaan juga berusaha untuk memastikan keselamatan dan keselesaan orang awam semasa proses vaksinasi terutamanya untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di lebih 280 PPV yang sedang beroperasi setakat ini terjamin.
Alhamdulillah, lebih banyak vaksin diberi nanti. Semoga urusan ini dipermudahkan sehingga kita berjaya membendung wabak covid-19 ini ya. Aamiin.