Kerajaan bersedia memberi kelonggaran kepada guru untuk melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar bermasalah, namun pelaksanaannya tertakluk kepada garis panduan ketat dan kawalan berhemah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu antara usaha bagi mendisiplinkan pelajar yang terlibat dalam kes seperti buli, tetapi pendekatannya perlu seimbang dengan nilai kasih sayang dan bimbingan.
“Walaupun buli kecil, dia (para guru) nasihat, bukan semuanya (kesalahan) kena rotan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus PPAM Seruling, pada Jumaat.
Anwar menegaskan bahawa sebarang tindakan disiplin tidak seharusnya dilakukan secara keterlaluan sehingga menyebabkan kecederaan kepada pelajar.
“Janganlah sampai pukul, hempuk kepala sampai luka. Tapi, untuk para guru menegur dan merotan tangan (untuk kesalahan) hal-hal yang ringan sedikit,” ujarnya.
Beliau turut menegur pihak yang menolak sepenuhnya penggunaan rotan atas alasan hak asasi manusia, dengan menegaskan bahawa kelonggaran perlu diberikan bagi membendung masalah disiplin di sekolah.
KPM Perkenal Subjek Pendidikan Karakter Mulai Tahun Hadapan, Fokus Bentuk Sahsiah & Jati Diri Murid
Kadang-kadang golongan hak asasi liberal ini keterlaluan… tak boleh langsung (rotan). Jadi apabila masalah (buli) ini timbul, kita kena bagilah sedikit kelonggaran dengan syarat-syarat yang ketat.
Sebelum ini, pada 13 Oktober, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan pendirian untuk tidak menggunakan rotan sebagai alat mendidik murid, sebaliknya memberi tumpuan kepada pendekatan berasaskan nilai, adab dan pembangunan karakter.
Bagaimanapun, garis panduan sedia ada melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 7 Tahun 2003 dan Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 menetapkan bahawa hukuman rotan:
- Hanya boleh dilakukan oleh Pengetua atau Guru Besar bagi kesalahan serius.
- Dilaksanakan secara berhemah pada punggung atau tapak tangan pelajar dengan pakaian lengkap.
- Ibu bapa perlu dimaklumkan dan dijemput untuk menyaksikan pelaksanaannya.
- Setiap hukuman direkodkan secara rasmi dan tidak boleh menyebabkan kecederaan serius.
- Hukuman terhadap murid perempuan adalah dilarang sepenuhnya.
Langkah ini menunjukkan kerajaan mengambil pendekatan seimbang antara disiplin dan empati, dalam usaha memperkukuh tatakelakuan serta moral pelajar di sekolah. – AWANI
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.