Sarapan pagi adalah antara perkara paling penting sebelum memulakan hari terutamanya untuk kanak-kanak yang sedang membesar. Tetapi tidak semua berpeluang untuk bersarapan kerana ingin mengejar masa.
Mengambil kira faktor tersebut, Menteri Pendidikan iaitu Dr Maszlee Malik mengumumkan kerajaan akan menyediakan sarapan percuma buat semua pelajar sekolah rendah di seluruh negara bermula Januari 2020.
Menurutnya inisiatif itu diperkenalkan untuk memastikan pelajar-pelajar kekal sihat dan cergas di sekolah selain dapat membantu mereka memberi tumpuan sebaik mungkin dalam pelajaran.
“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat mengambil berat aspek pemakanan murid dan sentiasa menggerakkan pelbagai inisiatif penting untuk memastikan anak-anak kita perutnya sentiasa terisi dengan makanan berkhasiat.”
Tujuan utama Program Sarapan Percuma (PSP) dilaksanakan dengan tujuan untuk memberikan makanan berkhasiat yang mengikut nilai kalori dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan murid mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat serta merangsang proses tumbesaran mereka.

KPM akan terus meneroka apa sahaja ruang bagi memastikan anak-anak hadir ke sekolah dengan penuh kegembiraan. Pastinya berita ini adalah berita gembira kepada semua pelajar dan ibu bapa juga tidak perlu risau lagi tentang sarapan pagi anak mereka.