Sebentar tadi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru sahaja selesai dengan perutusan khas mengenai perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Di dalam perutusan khas itu, beliau memberitahu kerajaan akan menimbang kembali untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.
Namun, perincian mengenainya akan diumumkan apabila peraturan berkaitan telah mendapat persetujuan kerajaan.
Beliau berkata dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP ini, setiap individu, keluarga dan komuniti adalah petugas barisan hadapan atau frontliners. Oleh itu, orang ramai perlu sama-sama mengingatkan satu sama lain mengenai norma baharu seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.
“Ibu bapa mesti sentiasa ingatkan anak-anak supaya sentiasa memakai pelitup muka ketika keluar dari rumah. Ingatkan mereka supaya jaga penjarakan sosial, sentiasa membasuh tangan, elakkan tempat sesak, jangan berjabat tangan dan lain-lain. Ingatkan mereka setiap hari.”
Selain itu, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk tidak mengambil mudah garis panduan ini hanya kerana kes COVID-19 dalam negara dilihat berkurangan. Sekiranya kes semakin meningkat, rakyat Malaysia pasti tidak mahu menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini.
Di dalam perutusan ini juga, beliau menzahirkan kebimbangan mengenai kemunculan 13 kluster baru yang muncul semasa PKPP ini. Sejak 7 Julai lalu, sebanyak empat kluster baru yang muncul berpunca dari mereka yang baru pulang dari luar negara. Rakyat Malaysia perlu bersama-sama memastikan kes harian kekal rendah dengan patuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.