Menurut laporan Berita Harian, kerajaan disarankan melihat semula kadar kenaikan gaji minimum, khususnya untuk graduan, yang disifatkan masih tidak setimpal dengan peningkatan kos sara hidup.
Senator Dr Yaakob Sapari berkata, buat masa ini, kadar kenaikan gaji dilihat tidak melebihi 100 atau 150 peratus, sedangkan kos sara hidup meningkat antara 400 hingga 600 peratus.
RMK-12 (Rancangan Malaysia Ke-12) masih memfokus membantu golongan miskin dan rancangan menjadikan negara berpendapatan tinggi, namun malangnya kadar upah diberi tidak setimpal dengan apa yang diusahakan.
“Bayangkan saya graduan universiti pada 1985. Ketika itu, kawan-kawan saya yang kerja kerajaan, gajinya RM1,060 campur elaun RM1,200. Kini hampir 40 tahun berlalu, ada graduan universiti dibayar gaji bawah RM2,000 bermakna ada graduan universiti bekerja di bawah paras kemiskinan,” katanya ketika sesi perbahasan RMK-12 di Dewan Negara hari ini.
Tambah Senator Dr Yaakob Sapari, kadar upah rendah menyebabkan ramai anak muda berhijrah ke negara lain untuk bekerja kerana gaji ditawarkan dan nilai mata wang yang lebih tinggi di negara berkenaan.
#BHNasional Ada graduan universiti bekerja di bawah paras kemiskinan – Yaakob.https://t.co/VPvMeKWNDj
— Berita Harian (@bharianmy) October 12, 2021
Sebelum pandemik Covid-19, kira-kira 300,000 pekerja Malaysia menyeberang Tambak Johor untuk bekerja di Singapura kerana gaji di sana lebih tinggi dengan nilai mata wangnya juga lebih tinggi. Disebabkan itu, usaha untuk menaikkan kadar gaji minimum ini perlu dilihat semula.
Sementara itu, Senator Datuk A Kesavadas berkata, pemadanan profesional merupakan elemen terpenting bagi kerajaan menjayakan fokus kelima, iaitu membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan.
Ramai dalam kalangan anak muda yang berpendidikan tinggi tetapi masih belum mendapat pekerjaan bersesuaian dengan kelayakan akademik mahupun kemahiran dikuasai mereka.
Tambah Senator Datuk A Kesavadas lagi, jika kerajaan benar-benar serius untuk membangunkan ekonomi rakyat dalam tempoh lima tahun mendatang, ‘expect right job for the right man’.
Perkara ini perlu diberi fokus agar kualiti sektor ekonomi negara mampu dilestarikan sejajar hasrat kerajaan memperkasakan agenda Keluarga Malaysia.
Dalam pada itu, Senator Datuk A Kesavadas berkata, mereka yang terjejas sepanjang tempoh pandemik Covid-19 adalah golongan B40, M40 dan peniaga kecil yang rata-ratanya berdepan masalah kewangan.
Seterusnya, Senator Aknan Ehtook pula berkata, masih ramai rakyat Malaysia yang terpaksa mengharungi isu kemiskinan, lebih-lebih lagi apabila negara dilanda pandemik Covid-19.
Senator Aknan Ehtook sekali gus menekankan, senarai golongan miskin yang dikeluarkan agensi atau jabatan kerajaan, perlu telus bagi membolehkan setiap bantuan disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Pendapat anda? Kongsi bersama kami di Facebook dan Telegram AmazingNara