Keputusan Mahkamah Berpihak Kepada Bekas Suami Pengasas Dnars, Anak Tiri Diarah Buat Permohonan Maaf

Berita

Keputusan Mahkamah Berpihak Kepada Bekas Suami Pengasas Dnars, Anak Tiri Diarah Buat Permohonan Maaf

Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membenarkan tuntutan saman fitnah yang difailkan oleh Haji Ahmad Shah Rizal terhadap dua orang defendan pada 21 Januari 2026.

Defendan pertama ialah Mohd Faizul Rohban, manakala defendan kedua ialah Irdiena Hakim Jasman, yang masing-masing merupakan adik dan anak kepada Allahyarham Faziani Rohban, pengasas Dnars. Saman tersebut difailkan berhubung penerbitan pelbagai tuduhan palsu dan berunsur fitnah terhadap Haji Ahmad Shah Rizal.

Advertisement

Fokus utama tindakan saman itu berkait dengan penerbitan kenyataan oleh Faizul dan Irdiena yang mendakwa Haji Ahmad Shah Rizal berlaku curang terhadap isterinya, Allahyarham Faziani Rohban, dengan mengadakan hubungan sulit bersama wanita lain ketika Allahyarham masih hidup.

bekas suami pengasas dnars

Selain itu, defendan turut membuat pelbagai tuduhan lain termasuk dakwaan Haji Ahmad Shah Rizal bersikap kejam terhadap anak tiri, cuba memerangkap anak tiri melalui laporan palsu, bersifat tamak serta berusaha menyeleweng harta peninggalan Allahyarham. Turut didakwa ialah percubaan melenyapkan bukti dengan menggodam akaun Facebook Faizul, selain gagal menyediakan keperluan serta penjagaan sewajarnya kepada anak tiri.

Dalam prosiding mahkamah, Faizul dan Irdiena turut mengemukakan tuduhan serius kononnya Haji Ahmad Shah Rizal terlibat dalam perancangan pembunuhan Allahyarham Faziani Rohban. Bagaimanapun, untuk rekod, isu kematian Allahyarham tidak pernah dibangkitkan oleh Haji Ahmad Shah Rizal dalam saman fitnah tersebut, sebaliknya dikemukakan oleh pihak defendan dalam pembelaan mereka.

Mahkamah mendapati kedua-dua defendan gagal membuktikan kesemua tuduhan jahat yang dilemparkan terhadap Haji Ahmad Shah Rizal. Justeru, mahkamah memutuskan bahawa beliau telah difitnah dan semua dakwaan yang dibuat adalah tidak benar serta tidak berasas.

Haji Ahmad Shah Rizal turut berpandangan bahawa tuduhan-tuduhan tersebut dibuat semata-mata untuk meraih simpati masyarakat, mensensasikan keadaan serta memburukkan nama baik dan kredibilitinya.

Selaras dengan keputusan itu, mahkamah memerintahkan Faizul dan Irdiena membayar gantirugi, selain mengeluarkan satu perintah injuksi kekal. Kedua-dua defendan diarahkan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Haji Ahmad Shah Rizal di media arus perdana termasuk Harian Metro, Sinar Harian, Kosmo! dan Berita Harian, selain portal OhMyMedia serta di akaun Facebook peribadi masing-masing.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah injuksi kekal yang melarang Faizul dan Irdiena, termasuk ejen atau pekerja mereka, daripada menerbitkan sebarang penulisan atau kenyataan lanjut yang mengandungi tuduhan sama atau apa-apa kenyataan bersifat fitnah terhadap Haji Ahmad Shah Rizal pada masa hadapan.

Menurut Haji Ahmad Shah Rizal, tindakan undang-undang tersebut diambil bukan atas kepentingan kewangan, sebaliknya bagi membersihkan nama, mempertahankan maruah dan integriti peribadi serta memelihara nama baik keluarga.

“Saya menghormati keputusan mahkamah dan bersyukur kerana kebenaran telah ditegakkan.

“Fitnah yang dilemparkan bukan sahaja menyentuh diri saya dan keluarga tetapi juga menjejaskan maruah dan legasi Allahyarham.

“Saya berharap keputusan ini menjadi pengajaran kepada semua bahawa fitnah dan tuduhan jahat tanpa asas yang dibina naratifnya mengikut hawa nafsu adalah sangat kejam” katanya.

Mengulas reaksi serta kenyataan di media sosial selepas keputusan mahkamah dibuat, Haji Ahmad Shah Rizal memilih untuk kekal tenang dan tidak melayan sebarang provokasi. Tegasnya, keputusan mahkamah merupakan rekod rasmi yang perlu dihormati serta dipatuhi oleh semua pihak.

Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

amap
2026-01-27 10:02:39

"Garisan Tanda '9 Dash Line' Di Aplikasi Amap Cabar Kedaulatan Negara" - Bekas Jurulatih Penerbangan PDRM

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

SUMBER : Astro Awani

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...