Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mengumumkan keputusan mengejutkan apabila menghantar surat peletakan jawatan dalam UMNO untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Dalam satu hantaran di Facebook, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu mengesahkan bahawa beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, serta ahli parti kepada kepimpinan tertinggi UMNO.
Zafrul turut memaklumkan bahawa beliau telah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR secara rasmi kepada Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.
Keputusan ini bukan sebuah keputusan yang mudah. Sebelum buat keputusan ini, saya telah meminta nasihat dan pandangan daripada sahabat-sahabat saya dari dalam dan luar parti termasuk dari YAB Presiden sendiri.
Saya telah mengambil masa yang agak panjang untuk memikirkan keputusan ini secara mendalam, terutamanya kerana UMNO adalah satu-satunya parti politik yang saya pernah sertai sejak tahun 1997 lagi.
Akhirnya, keputusan ini dibuat setelah bermuhasabah diri dan mengambil kira pelbagai faktor terutamanya faktor keserasian dan kesesuaian.
Susulan keputusannya itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada rakan, penyokong dan ahli UMNO yang banyak memberi sokongan sepanjang aktif dalam UMNO.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.