Jika sebelum ini pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini meluahkan perasaan terkejut kerana tidak menyangka gaun terdedah di bahagian bahu rekaan mereka telah digayakan oleh Natasha Hudson yang berhijab sepenuhnya itu dan ianya seperti telah mencalarkan imej dan reputasi mereka.
Namun begitu, timbul pula perasaan kurang senang buat rakan kongsi produk suplemen kesihatan Crystal C White, Nor Shahlina Abu yang beranggapan personaliti fesyen terkenal itu seolah-olah telah ‘menghina’ dan menghentam Natasha kerana memakai baju tersebut dalam keadaan bertudung.
Menurut Nor, sebagai pereka fesyen terkenal, mereka tidak sepatutnya melatah dengan menghentam balik tidak kira siapa pun yang memakai busana tersebut.
“Rekaan baju yang dianggap kontroversi kerana kononnya mendedahkan bahagian bahu dan betis Natasha berlapik. Ia ada ‘lining’ dan bukannya ‘bare shoulder’. Cara pereka fesyen itu menjawab seperti marah dan seolah-olah macam hina sangat Natasha menggayakan busana rekaannya. Sepatutnya dia ‘back up’ dengan cakap benda yang lebih elok dan bukannya menambah bara. Cara pereka fesyen itu menjawab memang seperti menghentam dan menghina.”
Tambahnya lagi, Rizman Ruzaini sepatutnya bersikap neutral dan lebih menghormati pembeli baju (merujuk kepada dirinya). Ujar Nor lagi, baju itu dibeli dengan duit bukannya dengan air liur jauh sekali ditaja.
Terdahulu, Rizman Ruzaini meluahkan rasa kesal apabila busana gaun putih yang terdedah di bahagian bahu itu dipakai oleh selebriti bertudung iaitu Natasha Hudson. Tindakan pelakon itu menurut Rizman telah mencalarkan imej dan reputasi yang dibina mereka sejak 15 tahun yang lalu.
Untuk rekod, pada Selasa lalu, Natasha Hudson,38, dilihat telah tampil menggayakan gaun putih itu ketika majlis pelancaran produk kecantikan Crystal C White dan turut mendapat perhatian warga maya apabila baju itu seolah-olah menampakkan sebahagian bahu pelakon cantik itu.