Jika sebelum ini sindiket pengedaran dadah lebih memilih untuk mengedar dadah menggunakan motosikal, kali ini merka beralih taktik dengan menggunakan kenderaan yang lebih besar untuk mengedar barang terlarang itu ke kawasan lain sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Pengarah 1, Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Zainuddin Ahmad mengatakan majoriti pengedar dadah menggunakan kenderaan roda dua pada PKP Mac tahun lepas kerana memudahkan pergerakan mereka.
Tambahnya, pada ketika ini mereka menukar strategi dengan menggunakan kereta atau lori yang mempunyai tempat simpanan khas.
Pihak berkuasa sentiasa melakukan operasi tangkapan serta rampasan termasuklah hasil risikan, sekatan jalan raya dan serbuan di parti persendirian.
Pematuhan masyarakat juga berada pada tahap yang terkawal lebih-lebih lagi menjelang perayaan Tahun Baru Cina dalam masa terdekat ini.
Menurutnya, beliau yakin masyarakat yang meraikan Tahun Baru Cina ini memahami peraturan PKP iaitu tidak boleh merentas negeri tanpa kebenaran dan kelihatan juga tiada peningkatan jumlah kenderaan menjelang perayaan.