Sejak kebelakangan ini, ramai artis dan juga pendakwah selebriti yang mencari pendapatan ‘sampingan’ seperti mengeluarkan produk tidak kiralah kecantikan atau kesihatan.
Namun begitu, kenyataan daripada Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah baru-baru ini yang menegur para selebriti dan juga agamawan telah mengundang cakap-cakap dalam kalangan netizen.
Ini berikutan Dr Rafidah ada menyelar selebriti dan ustaz yang mempromosikan produk kesihatan kerana ia salah di sisi undang-undang negara.
Dr Rafidah dilihat membuat kenyataan berikut di untaian Twitter miliknya yang menegur penyanyi Mawi dan juga pendakwah bebas, Ustaz Hanafi.
Salam Mawi,
Kenapa perlu menipu pesakit2 kronik saya?
Perbuatan ini sudah salah dari segi akta Iklan dan Ubat 1956.Tak payah nak cerita tentang kenyataan yg menipu dan menunggang agama! pic.twitter.com/HeYpaxKKuF
— Rafidah Abdullah (@rafidah72) May 4, 2022
Kata Dr Rafidah, produk kesihatan yang dijual dan dipromosi secara meluas itu tidak boleh menyembuhkan penyakit seperti yang didakwa selain boleh mengundang bahaya kepada pengguna.
Tak payah nak cerita tentang kenyataan yang menipu dan menunggang agama!
Adakah semua artis atau selebriti tidak beretika? Bukan dah ada panduan yang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sediakan untuk selebriti? Cukup-cukup menipu orang tua, cukuplah.
Jelasnya lagi, produk kesihatan yang dipromosi seperti itu adalah salah di bawah Undang-Undang Akta Iklan dan Ubat 1956 di mana seseorang itu tidak boleh menyebut sebarang penyakit dalam promosi produk kesihatan.
Dan sehingga kini, tidak ada kenyataan balas daripada kedua-dua selebriti berkenaan mengenai isu yang diketengahkan Dr Rafidah di media sosialnya itu.
Terdahulu, Mawi telah muncul dengan produk jus minuman keluarannya yang didakwa boleh merawat penyakit buah pinggang dan masalah kronik yang lain.
Manakala Ustaz Hanafi ada mempromosi produk kesihatan yang menurutnya telah 95 peratus terbukti menyembuhkan penyakit ‘3 serangkai’.