Pelakon Tiz Zaqyah menerusi ruangan Instagram Story (IG Story) miliknya baru-baru ini telah meluahkan rasa meluat dan marah terhadap sesetengah individu yang tanpa segan silu menghantar pesanan berupa gambar lucah kepadanya.
Menurut Tiz, dia telah menerima kiriman gambar berupa kemaluan lelaki menerusi Direct Message (DM) setelah memuat naik video memasak di platform tersebut.
Tambah pelakon Nur Kasih ini, dia tidak tahu sama ada individu tersebut hanyalah sekadar akaun palsu ataupun tidak tapi tidak dapat membayangkan jika orang lain turut menerima gangguan sedemikian rupa.
Tiz dalam pada itu menjelaskan sebab dia mendedahkan perkara itu kepada umum hanyalah untuk mewakili suara wanita yang tertindas dengan sikap tidak senonoh sesetengan kaum lelaki.
“Aku minta maaf post gambar tu. Aku nak korang rasa apa aku dan ramai lagi perempuan kat luar sana rasa. Kenapa perempuan selalu kena berdepan perkara menjijikkan ni manakala pelakunya diam dan hidup bersenang-lenang ibaratnya mereka berhak? aku pun tak nak kecoh-kecoh, tapi berapa lama lagi kena hadap benda macam ni? senangnya hidup kau?”
Dalam pada itu, Tiz sempat bercerita mengenai kru produksi yang dibuang kerja gara-gara menyorok di dalam sebuah bilik persalinan ketika artis tersebut sedang menyalin pakaian sebelum ini.
Mungkin terlalu kecewa kerana pelaku hanya mampu berada di sebalik media sosial dan tidak dikenakan sebarang tindakan, Tiz Zaqyah turut tertanya-tanya sampai bilakah golongan wanita terpaksa berhadapan dengan ancaman seperti ini sebelum perkara yang lebih buruk berlaku.