Spesifikasi telefon pintar yang diedarkan kerajaan negeri Perak kepada pelajar dari keluarga B40 menimbulkan persoalan apabila ia didakwa berkualiti rendah.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Ahmad Saidi Mohamad Daud walau bagaimanapun berkata, perkara itu setidaknya dapat mengelakkan daripada penyalahgunaan peranti bagi tujuan bermain permainan video.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi akaun laman sosialnya memberi respon kepada isu yang sedang hangat diperkatakan itu. Menurutnya, jika ingin membantu, pihak tersebut disarankan memberi peranti yang berkualiti.
Tambahnya lagi, pelajar memerlukan peranti dengan memory yang besar untuk memudahkan mereka mengikuti kelas melalui Google Meet, Telegram, Youtube dan sebagainya.
Bersetuju dengan pendapat ahli parlimen tersebut, orang ramai berkata sesetengah aplikasi pembelajaran sememangnya mempunyai saiz storage yang besar.
Ada juga yang mencadangkan peranti daripada beberapa jenama yang lain di mana spesifikasinya bukan untuk permainan video semata-mata.