Baru-baru ini agak kecoh dengan kontroversi dimana Faezah Elai didakwa sengaja menyindir bentuk badan seorang wanita yang mewakili pelakon Nur Fazura untuk menerima trofi di Anugerah Telenovela 2018. Namun, Faezah menyatakan beliau sama sekali tidak berniat unutk ‘body shaming’ dan sekadar melawak sahaja.
Bagaimanapun, Fazura tetap merasakan apa yang dilakukan oleh Faezah sebagai satu perkara yang memalukan dan sudah mengaibkan orang lain sehingga menyebabkan wanita yang mewakilinya itu murung seketika saat satu dewan mentertawakannya.
Kenapa perlu berjenaka sampai tahap mahu mengaibkan orang? Kalau di Amerika Syarikat, mana-mana artis yang bersikap sebegitu sudah lama digam dan ditamatkan program mereka. Tetapi di negara ini, boleh pula orang suka (jenaka sebegitu). Satu dewan, termasuk pengacara, turut mentertawakan wanita terbabit sehingga dia kemurungan seketika.
Sebagai selebriti, saya rasa perlu untuk bersuara bagi mewakili individu yang tidak dapat menyuarakan hak mereka. Saya takkan berdiam diri walaupun ada yang meminta untuk berbuat begitu.
Pada masa yang sama, Fazura turut mengecam seorang pelawak wanita popular yang mempertahankan tindakan Faezah dan menganggap isu tersebut tidak serius kerana ia sekadar gurauan sahaja. Buat Fazura, seorang pelawak tidak perlu untuk mengaitkan bentuk fizikal seseorang orang dan melakukan lawak yang lebih bernas.
Saya tidak setuju dengan pendapat itu. Sebagai pelawak, dia seharusnya mencari bahan jenaka lebih bernas tanpa mengaitkan bentuk fizikal seseorang ataupun apa saja perkara sensitif. Mungkin perkara itu tidak terkena pada dirinya sendiri, jadi bolehlah dia berkata demikian. Jika itulah idea bahan jenaka yang diagungkan olehnya, ia sangat memalukan.
Lawak tentang bentuk fizikal seseorang ataupun ‘body shaming’ termasuk sebagai salah satu kategori buli. Meskipun berniat sekadar gurauan, ia sebenarnya mampu mendatangkan kesan yang buruk kepada orang lain seperti kurang keyakinan diri, stress atau lebih parah depresi. Jadi beringatlah sebelum berkata-kata ataupun melawak.