Mendedahkan pelawaannya telah ditolak beberapa kali oleh isterinya ketika mula-mula mahu mencuba nasib menjadi peneman setia wanita itu, suami kepada pelakon jelita Mira Filzah iaitu Wan Emir Astar dilihat tidak segan berkongsi detik awal perkenalannya bersama aktres tersebut.
Menurut Emir, biarpun mengakui berdepan pelbagai cabaran untuk menawan hati Mira, namun dirinya tetap tidak berputus asa.
“Saya mula sukakan Mira sejak 2016 dan ketika itu saya hanya cuba DM (mesej peribadi) dia di Instagram ,namun tidak pernah berbalas. Sampailah satu hari tu saya pasang niat saya mahu jadikan Mira sebagai isteri dan alhamdulilah dia balas.”
Ujar Emir, beliau juga sanggup andai cintanya ditolak kerana yakin sekurang-kurangnya dirinya tidak menyesal mencuba.
“Sampaikan saya pernah mesej ibu Mira sendiri kerana ketika itu saya fikir saya mahu mencuba sehabis mungkin dan tidak kisah pun dimalukan,.”
Sementara itu, Mira juga sempat memaklumkan bahawa dirinya menerima Emir kerana kesungguhan jejaka yang juga seorang arkitek itu.
“Saya boleh kata effort dia sangat tinggi dan melihat kesungguhan dia saya terpikat.”
Sekadar informasi, Emir merupakan anak kepada Timbalan Menteri di Jabatan Hal Ehwal Khas Perdana Menteri, Datin Mastura Mohd Yazid.
Kedua-dua pasangan ini telah selamat bergelar suami isteri dengan sekali lafaz di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Malah, Emir dan Mira juga khabarnya akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi yang akan berlangsung di Hotel di Le Meridien, Putrajaya pada malam, Jumaat.
Malah, sebuah lagi majlis resepsi akan diadakan di sebuah premis acara di Puchong pada Ahad. Tidak ketinggalan, pasangan ini juga sempat memberitahu bahawa mereka telah merancang untuk berbulan madu dan bercuti di Langkawi.
Sumber: Gempak