Baru-baru ini tular perkongsian seorang gadis yang berusia 20 tahun dari Pariaman Sumatera Barat, Indonesia di mana dia menghidapi penyakit yang jarang berlaku iaitu xeroderma pigmentosum atau lebih dikenali sebagai XP.
Situasi itu menyebabkan pesakit tidak boleh terkena sinar matahari kerana kulit yang terlalu sensitif.
Menurut laporan dari mStar, gadis yang dikenali sebagai Fahza Syafira Karin memberitahu bahawa dia dilahirkan normal namun ketika dia berusia setahun bintik-bintik hitam mula timbul di badan.
Dikatakan, perkara tersebut berlaku kerana demam campak teruk yang dialami ketika berusia sembilan bulan.
Selain itu, Fahza memberitahu dia berjumpa beberapa doktor dan pakar kesihatan, akhirnya dimaklumkan bahawa dia menghidapi penyakit XP.
Fahza juga menerangkan bahawa pesakit tidak boleh terkena cahaya matahari dan ia juga jarang berlaku hanya satu dalam seribu.
Namun begitu, dia sangat bersyukur kerana penyakit itu tidak berjangkit dan menyifatkan kulitnya akan timbul bintik-bintik hitam seperti ‘tumor’ jika terkena matahari.
Dia juga berkata cara dia bertahan hidup selama ini adalah melalui pengambilan multi-vitamin selain berusaha sebaiknya daripada terkena sinaran cahaya matahari.