Pernah melalui episod ‘perit’ setelah hampir tujuh tahun menyulam cinta namun putus di tengah jalan, pelakon Ikhwan Khairudin akui tidak serik untuk membuka hati untuk bercinta kembali.
Namun, baginya sudah cukup untuk dirinya dikaitkan lagi dengan bekas kekasihnya iaitu pelakon Risteena Munim yang kini bahagia bersama insan tersayang.
“Serik, tidak sesekali, meskipun perhubungan cinta yang terjalin cukup lama pernah kecundang. Namun saya sentias berdoa jodoh dipercepatkan. Bagaimanapun, buat masa ini saya berserah kepada takdir dan ketentuan Ilahi. Siapa yang tak mahu kahwin? Saya juga mengharapkan supaya dipertemukan dengan jodoh yang baik dan dipercepatkan,”
Ikhwan yang pernah membintangi drama Awan Dania, Menjinak Ombak dan Ariana Rose ini juga berkata dia kini mahu memperbaiki kekurangan yang ada pada dirinya. Ketika ditanyakan mengenai ciri-ciri wanita pilihan hati, Ikhwan hanya mencari seorang wanita yang ringkas tetapi mempunyai pegangan agama yang baik serta tahu menjaga kehormatan diri.
View this post on Instagram
Setelah mengundurkan diri hampir lima tahun daripada dunia seni, dia kini kembali aktif berlakon dan bersyukur kerana masih lagi diberikan kepercayaan untuk beraksi di kaca TV.
Menolak sekerasnya anggapan bahawa dia diberikan peluang untuk berlakon kerana simpati orang di atas kegagalan hubungan percintaannya dengan Risteena, Ikhwan hanya bergantung harap dan percaya kepada konsep rezeki.
Menurutnya, tidak semua orang tahu mengenai kisah kegagalan percintaan yang terjalin cukup lama itu.
“Saya tak rasa tawaran yang diberikan ada kaitan dengan apa yang berlaku kepada saya sebelum ini. Tak mungkin atas dasar simpati kerana tak ramai yang tahu mengenai kisah hidup saya. Mungkin juga pengurus produksi mengetahui mengenai kehadiran semula dalam bidang seni jadi mereka beri peluang kepada saya,”
Dia turut tidak menduga bahawa tawaran untuk berlakon diterimanya tidak pernah putus sejak mula aktif pada Disember lalu. Ikhwan juga tidak kisah walaupun dirinya tidak pernah ditawarkan watak utama meskipun sudah hampir lapan tahun dia bertapak di medan seni.
Perkembangan terkini, dia kini membintangi drama terbaharu bertajuk Dia Bukan Bidadari bersama pelakon hebat Keith Foo dan Fadlan Hazim untuk siaran RTM.
Sumber : Berita Harian