Kematian Menantu TPM, Polis Ambil Keterangan Kakitangan Klinik Gigi

Trending

Kematian Menantu TPM, Polis Ambil Keterangan Kakitangan Klinik Gigi

Amar-Singh_Syed-alman_600
Polis mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung kematian menantu timbalan perdana menteri, Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi yang meninggal dunia kelmarin susulan rawatan gigi di Bangsar.

Advertisement

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata polis merakam percakapan mereka yang terdiri daripada kakitangan klinik gigi itu dan individu lain.

“Punca kematian masih belum dikenal pasti dan polis masih dalam proses mendapatkan laporan bedah siasat dari hospital,” katanya.

Amar Singh berkata kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

Syed Alman Zain, 44, merupakan suami kepada anak sulung Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah, 37.

Allahyarham dilaporkan pergi ke klinik bersama seorang rakan pada kira-kira 6 petang Rabu untuk mendapatkan rawatan gigi sebelum tidak sedarkan diri.

Menurut seorang ahli keluarga, allahyarham kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata siasatan terhadap kes kematian Syed Alman dijangka selesai antara satu dan dua minggu lagi dan ia meliputi semua aspek profesionalisme perubatan, termasuk amalan dijalankan serta pengamal perubatan bertugas ketika rawatan diberikan kepada mangsa.

“Siasatan sedang dilakukan secara terperinci oleh Bahagian Amalan Perubatan dan Bahagian Pergigian Kementerian Kesihatan, mungkin dalam satu atau dua minggu akan selesai segala siasatan yang dibuat.

“Setakat ini, ada beberapa perkara dibawa kepada pengetahuan saya, namun saya tidak akan mengumumkannya sehingga siasatan menyeluruh selesai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pooja Boomi dan meletak batu asas Kuil Sri Vanathandavar di Sungai Udang di Melaka hari ini.

Dr Subramaniam berkata klinik swasta berkenaan dikawal mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, dan tindakan akan dibuat berdasarkan hasil siasatan tersebut.

“Kita juga akan lihat kes ini mengikut akta lain antaranya Akta Perubatan 1971 dan Akta Pergigian 1971. Undang-undang yang ada cukup untuk diambil tindakan kerana kita memang tegas,” katanya.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...