Kucing kesayangan yang memberikan ilham kepada buku popular, A Street Cat Named Bob telah meninggal dunia pada usia 14 tahun. James Bowen, pemiliknya pertama kali bertemu Bob pada tahun 2007 semasa bertarung dengan masalah ketagihan dadah. Ketika itu dia mendapati kucing itu terbiar serta cedera dan memutuskan untuk menjaganya.
Bowen kemudian menulis satu siri buku mengenai hubungan mereka, termasuk A Street Cat Named Bob yang menjadi hit di seluruh dunia dan dijadikan filem pada tahun 2016. Di dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi, penulis mengatakan Bob yang meninggal pada hari Isnin lalu telah menyelamatkan nyawanya.
A Street Cat Named Bob: And How He Saved My Life diterbitkan pada tahun 2012 dan sejak itu terdapat lima lagi buku yang dikeluarkan dalam lebih dari empat puluh bahasa yang berbeza. Filem kedua, A Gift from Bob yang juga menampilkan kucing tersebut akan ditayangkan akhir tahun ini.
Sejak pertama kali mengambil Bob, pasangan itu dengan segeranya tidak dapat dipisahkan apabila dia sering membawa kucing tersebut ketika dia bermain muzik jalanan dan menjual buku The Big Issue di jalan-jalan di London.
Kematian Bob turut diratapi oleh peminat di seluruh dunia apabila namanya muncul sebagai trending nombor satu di laman Twitter selepas berita kematiannya diumumkan. Rata-rata peminat memberikan salam takziah di atas kehilangan kucing yang cukup bermakna dalam hidup Bowen itu.