Mahkamah Persekutuan dilaporkan mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bekas tukang gunting rambut kerana membunuh seorang bayi 11 bulan yang dikenali sebagai ‘Baby Zara’, 6 tahun lalu.
Mangsa, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal diperlakukan dengan kejam dan tidak beperikemanusian oleh pembunuh, Hazmi di sebuah unit pangsapuri di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi pada 7 November 2018.
Panel tiga hakim sebulat suara menolak rayuan akhir Hazmi Majid,42, terhadap sabitan dan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 Ogos 2021.
Hakim Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin sebulat suara bersetuju dengan hukuman gantung sampai mati kerana ia sesuai dengan perlakuan jenayah yang sangat kejam.
Laporan bedah siasat menunjukkan kecederaan vagina bayi berkenaan sangat serius sehingga doktor terpaksa menjahit luka dengan dua jahitan bagi menghentikan pendarahan.
Ketika kejadian, Baby Zara berusia 11 bulan dengan berat badan hanya 8.26 kilogram dan belum tumbuh gigi turut mengalami kecederaan pada dubur dan pendarahan serius pada keseluruhan otaknya.
Terdahulu, peguam T Vijayandran yang mewakili perayu berhujah, anak guamnya tidak sedar perbuatan itu kerana di bawah pengaruh dadah selain memohon lelaki itu dikenakan hukuman penjara 30 hingga 35 tahun jika mahkamah mengetepikan hukuman mati.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi berhujah, rayuan Hazmi wajar ditolak dan dakwaan mengatakan bawah pengaruh dadah tidak boleh diterima berdasarkan tindakannya cuba melupuskan bahan bukti dengan membasuh tuala bagi menghilangkan darah menunjukkan dia sedar ketika kejadian berlaku. – BERITA HARIAN
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain di pautan di bawah.