Seorang lagi mangsa yang terbabit dalam kemalangan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, Sabtu lalu, disahkan telah menghembuskan nafas terakhir, hari ini.
Mangsa, Mohd Hafizi Anuar, 48, meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi tadi di Hospital Kajang dan menurut adiknya, Mohd Haswad Anuar, 42, abangnya sebelum ini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas kejadian itu.
Saya sahkan abang saya sudah meninggal dunia selepas menerima rawatan. Allahyarham meninggalkan dua cahaya mata.
Tambah Mohd Haswad, jenazah abangnya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Raja Uda, Klang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, mengesahkan berhubung kejadian itu dan memaklumkan jenazah mangsa akan diserahkan kepada keluarga selepas proses bedah siasat dijalankan.
Ini menjadikan dua mangsa maut dalam kejadian ini. Siasatan berhubung kemalangan terbabit diteruskan.
Allahyarham bertugas sebagai kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Shah Alam merupakan penumpang dalam pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail.
Ketika kemalangan itu, Mohd Hafizi dan seorang lagi kakitangan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal JKR baru sahaja selesai tugasan di Penjara Kajang dan dalam perjalanan pulang ke pejabat di Shah Alam.
TRIGGER WARNING https://t.co/e0N2Ti0Lur pic.twitter.com/DNFEJurP8n
— @ (@anthraxxxx) October 2, 2025
Terdahulu, kemalangan yang tular dan menjadi bualan hangat di media sosial itu telah menyebabkan seorang bayi maut dan lapan individu cedera.
Kemalangan berlaku disebabkan sebuah lori merempuh salah satu lorong di plaza tol berkenaan di mana pemandu kenderaan itu dikatakan sudah terjun keluar terlebih dahulu.