Keluarga kepada tiga lelaki yang ditembak mati oleh polis di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November lalu hari ini tampil menyerahkan rakaman audio insiden kepada pihak polis selepas mendakwa mereka tidak pernah dihubungi penyiasat sejak laporan dibuat.
Rakaman itu diserahkan oleh M Jayasri, 31, isteri salah seorang mangsa, kepada Superintendan USJT Bukit Aman, Ta Kah Loon, di pintu masuk ibu pejabat polis.

Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili keluarga berkata langkah itu terpaksa dibuat sendiri kerana sehingga kini, tiada sebarang tindakan proaktif daripada polis.
“Tiada seorang pun daripada polis menghubungi kami. Bagaimana ini boleh dianggap sebagai siasatan?” katanya, menyuarakan kebimbangan terhadap kelambatan pihak berkuasa.
Turut hadir ialah isteri dan ibu mangsa M Puvaneswaran, peguam N Surendran dan Latheefa Koya (Lawyers for Liberty), serta pengasas Agamam Ani, Arun Dorasamy.
Rakaman Audio Tunjuk Jeritan & Kekecohan Sebelum Tembakan
Keluarga menafikan kenyataan polis bahawa ketiga-tiga lelaki M Puvaneswaran, M Pushpanathan dan G Logeswaran menyerang anggota polis. Mereka mendakwa rakaman audio yang diserahkan menunjukkan situasi berbeza.
Menurut Rajesh, audio berkenaan merakamkan suasana panik, jeritan meminta tolong, kekecohan dalam kenderaan sebelum bunyi tembakan dilepaskan.

Rakaman tersebut dipercayai dirakam oleh isteri Logeswaran yang masih berada di talian telefon ketika insiden berlaku. Ia turut menunjukkan bahawa mereka dalam perjalanan ke Kuala Lumpur bagi menghadiri upacara keagamaan, sambil Logeswaran menyatakan sebuah Perodua Aruz tanpa tanda rasmi mengekori mereka sebelum memberhentikan kenderaan.
Keluarga mendakwa rakaman itu bercanggah dengan versi polis yang menyatakan berlaku serangan terhadap anggota ketika serbuan dilakukan.
Penasihat LFL, Surendran, mempersoalkan bagaimana siasatan boleh dianggap telus sedangkan keluarga mangsa tidak dihubungi lebih 72 jam selepas laporan dibuat.
Ini kes melibatkan kematian di tangan polis. Bila penyiasat sendiri gagal hubungi keluarga, ia menimbulkan keraguan serius mengenai komitmen siasatan.
Rajesh pula menegaskan tidak wajar keluarga yang sedang berduka perlu mendesak pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sewajarnya. – HARIAN METRO
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
