Keluarga Allahyarham Nurly Sahirah Azman, 23, yang merupakan salah seorang daripada 15 pelajar UPSI yang terkorban dalam tragedi nahas di Gerik pada 9 Jun lalu memohon agar tiada pelawat hadir ke rumah sehingga Sabtu depan.
Permintaan itu dimaklumkan oleh abangnya, Mohd Najmuddin Azman, 28, menerusi satu hantaran di Facebook yang mengatakan keputusan ini dibuat demi memberi ruang rehat kepada kedua ibu bapa mereka yang masih dalam keadaan sangat terkesan dan belum cukup rehat sejak pemergian anak tersayang.
Bagi peluang umi abah saya berehat seketika. Dari awal kematian sehingga sekarang belum rehat sepenuhnya. Insha Allah ada rezeki boleh datang ziarah.
Maklumat itu turut dikongsikan oleh seorang pengguna media sosial yang memaklumkan bahawa keluarga Allahyarham Nurly tidak akan menerima sebarang tetamu mulai 2 hingga 5 Julai.
Menurutnya, kediaman keluarga arwah juga ditutup sementara kepada orang ramai yang ingin menziarahi bagi menghormati privasi dan memberi ruang kepada mereka untuk bertenang.
Sebelum ini, abang kepada Allahyarham Nurly Sahirah Azman, salah seorang daripada 15 pelajar UPSI yang maut dalam nahas di Gerik pada 9 Jun lalu, menegur tindakan segelintir individu yang menziarahi pusara adiknya.
Kubur Allahyarham dan rumah keluarganya menjadi tumpuan orang ramai sejak kejadian, namun keluarga kini meminta agar tidak menerima pelawat buat sementara waktu bagi memberi ruang kepada mereka untuk bertenang.
Untuk makluman, seramai 15 pelajar UPSI maut dalam kemalangan tragis melibatkan sebuah bas dan MPV Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat, Gerik, pada jam 1.10 pagi, 9 Jun lalu.