Sehingga kini, masih tiada sebarang jawapan tentang kes kematian anggota Bomba Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah. Kejadian ini berlaku pada 27 November 2018 selepas berlaku kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.
Selepas siasatan dilakukan, pada 27 September 2019 pihak Mahkamah Koroner Shah Alam telah memutuskan kes ini adalah akibat jenayah yang dilakukan dua atau tiga orang individu yang gagal dikenalpasti sehingga kini.
Kes ditutup sementara
Bagaimanapun Sabtu lalu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata kerajaan kini akan memberi fokus untuk memberikan bantuan kepada ahli keluarga Allahyarham Muhammad Adib. Ini selepas kes ini telah dilaporkan akan ditutup sementara dan akan dibuka semula jika ada sebarang bukti baharu.
Keluarga Muhammad Adib tidak puas hati
Sudah pasti keputusan menutup sementara kes ini tidak akan diterima keluarga mangsa. Perkara ini diluahkan bapa Adib yang berharap pihak berkuasa akan tetap meneruskan siasatan kes anaknya yang masih belum terbela.
“Sekiranya mahu tutup sementara, tetapi dalam masa sama pihak berkuasa meneruskan siasatan, itu tidak apa, kita cuma tak mahu kes ditutup terus.”
“Saya harap pihak polis terus melakukan siasatan, jika ada (siasatan) mesti akan ada petunjuk baharu.” – Katanya kepada Berita Harian.
Mohd Kassim juga mengatakan dia akan berbincang dengan peguam keluarga untuk memastikan kes itu diteruskan. Jika kes Adib ini tidak terbela, pastinya ia akan mengecewakan ibu bapa arwah. Semoga arwah Muhammad Adib tenang di sana dan mendapat pembelaan di dunia. Al-Fatihah.
Pendapat anda? Kongsi bersama kami di Facebook dan Telegram AmazingNara