Kehilangan dua insan tersayang memberi kesan yang mendalam terhadap lelaki ini yang akui masih trauma kerana kedua-duanya meninggal dunia pada hari yang sama akibat dibakar hidup-hidup dan jangkitan kuman dalam paru-paru.
Mohd. Akram Ibrahim, 30, berkata, kematian bapanya, Ibrahim Mydin, 61, merupakan satu tragedi kerana meninggal dunia pada hari sama kakaknya, Zainab, 35, dijemput Ilahi.
Selepas ayah mati dibunuh, kakak pula meninggal dunia pada waktu zuhur hari yang sama selepas seminggu dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). Dua kematian dalam satu hari, kami masih trauma, namun perlu banyak bersabar.”
Kata Akram, pada hari kejadian dia sempat pergi ke lokasi untuk melihat kawasan kebakaran malah tidak menyangka bapa dan anak angkatnya dibunuh.
Namun, beberapa jam kemudian dia dimaklumkan pula kakaknya meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.
Bapanya ditemui rentung bersama anak angkatnya, Muhammad Muslim Mohd. Zaini, 23, dalam kebakaran di sebuah rumah dekat Tongkang Yard, Alor Setar pada 21 Januari lalu.
Pada awalnya kes itu diklasifikasikan sebagai insiden kebakaran namun ia bertukar kepada kes bunuh selepas siasatan mendapati terdapat unsur jenayah.
Polis juga mendapati kes itu bermotifkan dendam dan kemudian menahan lima lelaki sebelum dua daripada mereka, Mohd. Fitri Saiful Rizuan Musa, 29, dan Muhammad Haizan Abdul Rahim, 19, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh.