Sebuah kediaman yang didiami keluarga musnah dalam kebakaran mengakibatkan keseluruhan rumah tidak dapat diselamatkan. Kejadian itu berlaku pada jam 1 tengah hari di Lorong Mat Rojak, Jalan Bernam, Batu 9 1/2.
Menurut Siti Nur Haziqah yang juga anak kepada pemilik rumah, Hasim Yaacob, 69, dia sedang tidur di dalam bilik sebelum dikejutkan dengan jeritan anak saudara, Nur Damia Qistina Mohd Fauzal, 11, memaklumkan mengenai kebakaran itu.
“Saya dan suami baru beli kelengkapan bayi pagi semalam, tak sangka semuanya musnah dalam kebakaran”.
Dia kini hamil enam bulan berkata, tidak sempat menyelamatkan kelengkapan barangan bayi yang dibeli bersama suami.
“Barang keperluan bayi seperti baju, lampin pakai buang dan botol susu tidak sempat diselamatkan”.
Katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar.
Tambahnya, dia kini buntu bagaimana untuk membeli semula barang keperluan bayi kerana suaminya, Mohd Alif Samsul Baharin, 22, sudah diberhentikan kerja kerana kilang ditutup akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Memang sedih memikirkan persiapan bayi musnah dalam sekelip mata, tetapi bersyukur kami selamat. Adik-beradik yang banyak menyumbang untuk membeli barangan itu, tetapi kami diuji dengan kejadian ini”.
Hasim ketika itu tiada di rumah manakala isterinya pula ke Gombak untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Apa yang menyedihkan saya rumah yang dibina sejak 11 tahun lalu dan menyimpan banyak kenangan musnah sekelip mana… Di sinilah 12 anak dibesarkan”.
Noh berkata, pihaknya akan membantu keluarga ini dalam masa terdekat termasuk memberi sumbangan berupa bantal tilam dan keperluan harian.