Faktor utama zakat gagal atau lewat disampaikan kepada golongan yang memerlukan adalah kerana kelemahan mempromosikan agihan zakat berbanding NGO yang dilihat lebih kedepan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Shukri Yusoff berkata, agensi zakat sebenarnya tidak ketinggalan dalam memberi bantuan kepada golongan yang lebih memerlukan.
Katanya, salah faham dalam masyarakat wujud kerana institusi zakat lemah dalam mempromosikan atau mengiklankan jenis bantuan yang ditawarkan.
“Sebagai contoh, MAIWP sendiri mengagihkan zakat kira-kira RM700 juta setiap tahun, cuma mungkin masyarakat hanya lihat tokoh tertentu yang bergerak ke depan bersama NGO mereka”.
MAIWP juga menghormati tokoh atau NGO yang memberi bantuan kerana ia menggalakkan semua pihak membantu antara satu sama lain, cuma masyarakat perlu faham bahawa bantuan NGO lebih bersifat ‘one-off’ (sekali beri).
“Cuma kelemahan agensi zakat ialah kita tidak uar-uarkan agihan ini supaya masyarakat nampak”.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Wisma PPZ dan diminta mengulas mengenai kelewatan pusat zakat menghulurkan bantuan hingga mengundang kecaman masyarakat.
“Ramai yang berjaya hari ini, termasuk golongan profesional seperti doktor dan jurutera, sebelum ini menyambung pengajian menggunakan wang zakat negeri masing-masing”.
Beliau juga percaya jika agensi zakat setiap negeri bijak dalam mengiklankan produk bantuan, pandangan masyarakat terhadap institusi yang dilihat kebelakang dapat diatasi.
“Saya percaya kalau pihak berkuasa zakat pandai mempromosi agihan yang mereka buat, stigma masyarakat mengenai isu zakat akan berkurangan”.
Bantuan institusi zakat pula pelbagai, sama ada kesihatan, bakul rezeki atau pendidikan. Apabila tidak fokus, maka orang tidak nampak.