Kekurangan Zat Makanan Akut, Seorang Dari 5 Budak Di Malaysia Terbantut Dari Usia Sebenar Mereka

Trending

Kekurangan Zat Makanan Akut, Seorang Dari 5 Budak Di Malaysia Terbantut Dari Usia Sebenar Mereka

Christiane-Rudert-Lebih 7% kanak-kanak berusia bawah lima tahun di Malaysia dikenal pasti mempunyai berat badan berlebihan manakala lapan peratus lagi mengalami kekurangan zat makanan akut.

Perkara itu terkandung dalam Laporan Serantau mengenai Jaminan Zat Makanan di ASEAN oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unicef), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan ASEAN.

Advertisement

Laporan itu juga menyatakan hampir seorang daripada setiap lima kanak-kanak di Malaysia terbantut atau terlalu rendah bagi usia mereka dan trend itu semakin meningkat di beberapa negara anggota ASEAN seperti Indonesia, Filipina dan Thailand.

Penasihat Pemakanan Rantau Asia Timur dan Pasifik Unicef, Christiane Rudert berkata, usaha mencegah obesiti dan kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak perlu bermula sejak peringkat prahamil, ketika hamil dan dalam tempoh dua tahun pertama kehidupan kanak-kanak.

“Cara memberi makan dan kesedaran tentang pentingnya diet sihat untuk menjamin pertumbuhan sihat kanak-kanak perlu diberi penekanan untuk menangani masalah itu,” katanya semasa berucap pada forum ‘Beban Berganda Malaysia-Obesiti dan Kekurangan Zat Makanan dalam Kalangan Kanak-kanak’ di Razak School of Government semalam.

Beliau berkata, dasar dan undang-undang kukuh juga perlu diwujudkan berkaitan amalan makan secara sihat seperti cukai gula yang dikenakan di Mexico.

Pengarah Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia, Zalma Abd Razak berkata, faktor yang menyumbang kepada masalah itu termasuklah budaya makan tidak sihat seperti kurang makan buah-buahan, sayur-sayuran dan susu seperti yang disyorkan pakar kesihatan.

“Pelan Tindakan Kebangsaan Malaysia Mengenai Rangka Kerja Pemakanan 2016-2025 berada di peringkat akhir sekarang. Ia akan memberi fokus terhadap usaha memerangi obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa bagi mencapai kesejahteraan pemakanan optimum dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Untuk jangka panjang, Kementerian Kesihatan mungkin boleh bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi menempatkan pakar pemakanan di sekolah atau pejabat pendidikan daerah.

“Ini kerana kanak-kanak sekolah adalah kumpulan sasaran terbaik bagi menyemai budaya makan secara sihat dalam masyarakat,” katanya.

Pensyarah Sekolah Hospitaliti, Pelancongan dan Seni Kulinari Taylor’s University, Dr Elise Mognard berkata, kewujudan lebih banyak maklumat tentang diet sihat secara beransur-ansur dapat membantu mengubah tabiat makan orang ramai.

“Bagaimanapun, cabaran di Malaysia ialah sejumlah besar rakyatnya makan makanan luar sekurang-kurangnya sekali sehari,” kata beliau.

Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, Prof Dr Mohd Ismail Noor pula berkata, antara langkah yang boleh diambil untuk menggalakkan pengambilan diet sihat di sekolah ialah dengan menyediakan mesin air bagi mendorong kanak-kanak meminum air biasa, bukannya minuman bergula.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...