Kalau anda pengguna tegar Twitter, pastinya anda mengetahui tentang kontroversi yang melanda pengarah dan penerbit filem, Ahmad Idham dan pengendali akaun Twitter @twt_filem. Agak menarik juga “perbalahan” yang terjadi di antara mereka. Pertelingkahan ini menarik perhatian ramai pengguna Twitter sehingga ada yang menyatakan Ahmad Idham tidak boleh menerima kritikan.
Malah Ahmad Idham memanjangkan lagi kontroversi ini apabila menulis beberapa “tweet” yang seolah-olah menghina mereka yang di sebalik @twt_filem. Apa yang dapat Abang Nara simpulkan ialah bagi Ahmad Idham, kalau kita tak pernah buat filem atau tak terlibat dalam industri, kita tiada hak untuk membuat kritikan terhadap mana-mana filem.
Namun benarkah Ahmad Idham tidak boleh dikritik? Persoalan tersebut dijawab oleh Ahmad Idham menerusi Pancaindera semalam. Kata Ahmad Idham:-
Pelik juga kalau dikatakan saya tidak boleh dikritik. Kalau benar seperti yang dikatakan, saya tidak akan berada di tempat sekarang. Secara jujurnya kejayaan yang saya tempa ini dibina daripada kritikan rakan-rakan media dan peminat yang dijadikan semangat serta dorongan untuk saya berjaya dan berada di tahap ini.
Saya berharap peminat meneliti secara mendalam komen-komen balas saya itu lebih menjurus ke arah membetulkan provokasi dan kenyataan salah yang datangnya daripada komen ahli akaun Twitter tersebut.
Saya secara terang mengatakan, jika ingin menjadi pengkritik, jadilah pengkritik yang bertauliah seperti pengkritik di media arus perdana yang mendapat pendidikan dan pentauliahan.
Situasi sekarang adalah kita berdepan dengan pengkritik yang tanpa kita ketahui asal usul dan pendidikannya, juga berselindung di sebalik akaun Twitter yang sering melontarkan kritikan dan memberi kesan negatif kepada pembangunan industri filem.
Kini kita berhadapan dengan senario yang cukup berbeza. Kita berhadapan dengan pengkritik yang kurang matang serta kurang mendalami bidang perfileman. Yang lebih kritikal mereka berselindung di sebalik akaun-akaun Twitter juga media sosial. Kita semua boleh mempertikai mengenai keikhlasan dan kejujuran mereka yang kita tidak kenal ini. Boleh saya katakan kita sedang berdepan dengan situasi di mana â??ibarat baling batu, sembunyi tangan.â?? Saya cukup gusar dengan apa yang terjadi sekarang tambahan media sosial mampu memberi persepsi yang cukup kuat
Sebenarnya panjang lebar lagi penjelasan Ahmad Idham yang diterbitkan menerusi Pancaindera semalam. Pada pendapat Abang Nara, di dunia serba moden ini, semua orang bebas meluahkan rasa hati mereka. Katakanlah anda pergi menonton sebuah filem, dan anda luahkan rasa gembira/sedih anda dengan kualiti filem tersebut menerusi Twitter, adakah itu satu kritikan yang tidak munasabah? Ia adalah satu pendapat dan tak semestinya pendapat tersebut betul. Apa pula pendapat anda? Info asal AstroAwani.