Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah meramalkan yang beberapa negeri dalam negara akan mengalami hujan dan ribut petir bermula semalam sehingga 29 Oktober. Bagi cuaca pada sebelah petang, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di hampir semua negeri.
Untuk cuaca pada sebelah malam pula, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di beberapa tempat di Kedah, Perak, Kelantan, Pahang, Selangor, Sarawak, Sabah dan Labuan. Bagi negeri lain, kawasan tersebut dijangka tidak ada hujan atau hanya mengalami cuaca mendung.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga serta menghubungi pihak bertanggungjawab secepat mungkin jika mengalami masalah yang berkaitan dengan cuaca hujan dan ribut ini seperti banjir, kemalangan atau lain-lain.
Bunyi petir menyambar pokok macam ‘bom’
Baru-baru ini tular di laman TikTok, sebuah perkongsian video daripada seorang pengguna bernama @kejutartora yang memaparkan satu kejadian petir menyambar sebatang pokok dengan dentuman yang kuat seakan bunyi letupan ‘bom’ dalam satu kejadian di sebuah jalan raya.
Dalam perkongsian video tersebut, rakaman dashcam kereta pengguna laman sosial itu dilihat sedang merakam keadaan lalu lintas di sebuah jalan raya yang tidak dikenal pasti tempatnya. Terdapat beberapa buah kereta berada di hadapan kereta pengguna itu.
Namun, apa yang membuatkan ramai penonton terkejut melihat perkongsian video tersebut adalah apabila kemudiannya dapat dilihat terdapat satu kilat menyambar sebatang pokok di sebelah jalan raya tersebut.
Lebih mengejutkan, kejadian kilat menyambar pokok itu telah mengeluarkan bunyi dentuman yang sangat kuat seakan-akan bunyi letupan ‘bom’ dan mengakibatkan percikan api keluar di pokok tersebut.
“Aku kalau dekat situasi orang motor tu, duduk rumah setahun trauma”
Setakat ini, perkongsian video tersebut telah mendapat sebanyak 1.2 juta tontonan, 79.7 ribu tanda like dan 1.9 ribu komen. Rata-rata netizen turut menyatakan kesyukuran kerana tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan susulan kejadian tersebut.
Ramai juga yang meluahkan kerisauan serta pujian pada penunggang motosikal yang dilihat sangat berdekatan dengan kejadian kilat menyambar pokok itu. Ada juga mengatakan yang mereka pastinya trauma jika berada di tempat penunggang motosikal itu.
Pendapat anda? Kongsi bersama kami di Facebook dan Telegram AmazingNara