Kejadian Bunuh Diri Di Sebuah Universiti Di Selangor Yang Gempar Pada Tahun 2000-an

Trending

Kejadian Bunuh Diri Di Sebuah Universiti Di Selangor Yang Gempar Pada Tahun 2000-an

Kolej kediaman sebuah universiti di Selangor gempar apabila seorang mahasiswa menggantung diri dalam bilik. Mayat ditemui oleh rakan kongsinya setelah hampir 2 minggu tak dengar khabar. Bila pintu bilik dipecah, dijumpai seorang pelajar berketurunan India tergantung di kipas siling oleh kabel sterika.

Advertisement

Kejadian di katakan terjadi semasa semester pendek dan disebabkan tak ramai menginap di kolej kediaman masa tu, pihak universiti berjaya “menyorokkan” kes tersebut dari pengetahuan umum.

Sejak dari penemuan mayat di bilik tersebut, unit kediaman pelajar itu dikosongkan buat sementara waktu sementara menunggu siasatan selesai.

Selepas penghuni unit kediaman itu dibenarkan kembali ke apartment, mereka mendakwa sering terdengar bunyi-bunyian dari bilik bekas rakan kongsi yang dah mati itu, seolah-olah ada orang di dalamnya.

Namun..

Tiada penampakan-penampakan pelik berlaku di luar bilik kejadian bunuh diri. Penghuni unit bilik tu pun lama-lama biasa dengan bunyi-bunyi kat bilik tu.

Hari berlalu, tugasan, peperiksaan, projek tahun akhir, cinta kampus, kehidupan seorang pelajar membuatkan warga universiti lupa dengan kejadian bunuh diri tersebut.

Sehinggalah tamat semester dan rakan kongsi asal yang bunuh diri tu pun keluar dari rumah sebab dah graduasi.  Semester baru dan unit tersebut diduduki oleh pelajar baru.

Mengikut cerita, pelajar yang dapat bilik misteri itu pada malam pertama ‘ditolak’ jatuh dari katil. Pada mulanya dia ingat tidur lasak sangat sampai terjatuh katil. Dia bangun balik tidur kat atas katil. Tapi bila bangun pagi sedar-sedar dah kat bawah katil.

Ok lah malam pertama so anggap kebetulan je lah.

Malam kedua mamat ni terjatuh katil lagi. Dia naik tidur atas katil semula dan sekali lagi buka je mata tengok dah kat bawah katil. Dah mula rasa tak sedap hati.

Malam ketiga dia nekad tak nak tidur. Macam-macam lah dia buat supaya tak tidur, layan VCD lah, layan MP3, baca buku, apa-apa je lah. Tapi kelopak mata macam ditarik-tarik. Kuyu je, akhirnya terlentok kat meja belajar.

Lebih kurang pukul 3-4 pagi macam tu dia tersedar dan nak tidur atas katil.

Toleh je arah katil nampak ada sesuatu atas tilam dilitupi selimut. Mungkin mamai agaknya, dianggap mainan mata aja. Bila dah berdiri betul-betul sebelah katil baru jelas kelihatan bentuk seperti orang bawah selimut, atau lebih tepat lagi seperti mayat sedia untuk dikafankan.

Mencicit mamat ni lari keluar bilik dan kejutkan rakan kongsi yang lain.

Semua periksa bilik tersebut dan seperti biasanya filem-filem seram, semua tengok biasa je tiada apa-apa yang aneh. Pelajar baru itu kemudiannya bawak barang dia keluar dan berkampung kat ruang tamu.

Besoknya dia pergi ke pengurusan kolej dan minta tukar bilik.

Pelajar tu menyangka akan ada masalah sebab bukan senang-senang je nak minta tukar bilik, apa lagi dengan alasan bilik ada hantu. Terkejut dia bila senang je permohonan diluluskan dan dibenarkan tukar pada hari yang sama.

Macam tak percaya je tapi tentu lah dia tak banyak soal. Masa pindah rumah baru, barulah dia tahu pasal kejadian bunuh diri kat biliknya itu.

Kejadian bunuh diri tu jadi hangat semula. Penghuni unit tu jadi panas punggung la bila orang cakap rumah diorang ada hantu. Sebab tak boleh pindah unit sampai semester seterusnya, tahan je lah buat sementara waktu.

Pada hari Sabtu, sekitar pukul 10 pagi macam tu, penghuni bilik bersebelahan bilik air melepak kat katil, bertentangan dengan pintu bilik yang terbuka.

Masa tengah layan lagu dengar MP3 kat komputer, dia nampak orang berbadan besar hitam, cuma berseluar pendek dengan towel selubung kat kepala masuk dalam bilik air.

Dia tak ambil kisah sebab tentulah lah dia ingat salah seorang teman serumahnya.

Bila dah lebih kurang 20 minit macam tu dia baru sedar bilik air dari tadi tiada bunyi air pancut (shower).

Mamat ni pergi la periksa dan mendapati pintu bilik air terbuka dan lantai dinding semua kering. Lepas tu rakan kongsi dia keluar bilik dalam keadaan bertowel dan masih mamai. Ditanyalah, ko ke yang mandi tadi?

“Mandi apanye, aku baru bangun ni ha” jawab rakan kongsinya.

Apa tercenganglah mamat ni. Dalam rumah tu ada 3 orang termasuk dirinya dan seorang lagi dah balik kampung semalam. Di ceritakan apa yang dia nampak tadi dan tiba-tiba.

DUM!!! Pintu bilik kejadian bunuh diri tu terhempas.

Padahal bilik tu berkunci. Perlahan-lahan mereka menekap telinga ke pintu dan jelas kedengaran bunyi kipas siling di pasang pada kelajuan maksimum. Kemudian didapati terdapat bayang-bayang dari bawah pintu macam ada orang di dalam.

Kalau sekali dua mungkin lah bayangan langsir yang berkibar dek angin kipas, tapi kalau dah macam kerap je pergerakannya, mereka syak ada orang di dalam.

Pintu diketuk. Sekali ketuk, tiada balasan, dua kali pun tiada balasan. Mamat ni dan kawan rumahnya mula ketuk berkali-kali macam nak runtuh pintu sambil mengugut ‘penghuni’ di dalam.

Bunyi tombol pintu di buka kedengaran. Pintu bilik dibuka dan mereka mendapati bilik tu kosong. Bukan setakat kosong, kipas tak hidup, tingkap tertutup selindung habis dengan langsir sampai gelap.

Bunyi kipas dari luar tu satu hal lah dan tak payah nak cakap pasal bayang-bayang bawah pintu tadi. Siapakah gerangan yang buka tombol pun dah cukup membuatkan dua orang ini bergegas ke pejabat pengurusan kat bawah blok.

Pejabat pengurusan kampus kediaman pagi tu menerima tetamu, seorang pakai seluar pendek tak pakai baju dan sorang lagi cuma bertowel aje. Kejadian diceritakan ke pegawai bertugas dari A – Z.

Dan seperti biasa, cerita panas macam ni mana boleh simpan lama-lama, kejap je dah tersebar satu kolej kediaman. Tak sempat pihak pengurusan sampai kat unit tersebut, dah ramai menyibuk bersidai kat depan rumah.

Pemeriksaan dilakukan dan pihak pengurusan tu tanya kat penghuni rumah samaada nak dipanggilkan ustaz.

Kalau penghuni Islam tak payah tanya tapi disebabkan penghuni-penghuni rumah itu adalah bukan Muslim, jadi kenalah tanya. Bagi mereka terpulang nak panggil siapa tapi mereka nak keluar dari rumah. Dah tak sanggup nak lama-lama tinggal kat situ.

Pengurusan kampus kediaman benarkan.

Sebab tiada dah rumah kosong, jadi kena duduk asing-asing lah.

Hari itu juga dua orang ini pindah masuk bilik baru. Tinggal lah mamat yang balik kampung kat rumah tu. Hari minggu berlalu dan mamat yang balik kampung pulang ke unit kediaman pada malam Ahad.

Masa nak masuk pagar kolej kediaman, dia perasan dari tingkap bilik bunuh diri tu (unit nya tingkat 7), lampu menyala dan dari langsir berkibar-kibar keluar tingkap, kipas dihidupkan.

Kebiasaannya bilik tu ada orang lah. Dia perasan juga bilik-bilik kawan serumahnya gelap tapi tak ambil pusing, ye lah mungkin keluar makan ke apa.

Pintu masuk rumah bersebelahan dengan tingkap dapur.

Tingkap tu tak berlangsir dan masa lalu kat koridor nak masuk rumah dia nampak ada seseorang tengah basuh mug kat sinki dari tingkap tu. Orang yang basuh mug tu katanya, badan besar hitam, tak pakai baju dan kepala berselubung towel warna purple.

Waktu masuk rumah, orang basuh mug tadi menonong je masuk bilik bunuh diri tu dan terus tutup pintu, tak balas pun teguran mamat ni. Sentap juga lah tapi malas nak ambil kisah, dia pun masuk ke biliknya.

Sekitar pukul 3 pagi macam tu, dia terjaga dari tidur.

Biasalah bangun tidur tengah malam mesti rasa nak kencing kan, so dia pun pergi lah tandas. Dah flush apa semua, dia balik ke biliknya. Masa jalan kat koridor kecik menuju ke bilik, “penghuni” bilik bunuh diri tu buka sedikit pintu bilik dan tengok mamat tu.

“Watsup bro” sapa mamat tu.

Sapaannya tak berbalas, cuma sepasang mata dengan senyuman meleret dari bukaan kecil pintu bilik. Memang seriau tapi mamat tu tak terpikir pula pasal hantu setan ni. Tiba-tiba terdengar panggilan ‘rakan kongsi baru’nya.

“Come, come, come, come”

Kata orang dari bilik bunuh diri tu sambil tangannya memanggil-manggil masuk ke bilik.

Menurut cerita, mamat tu kata suara orang tu garau macam sakit tekak. Meremang bulu-bulu roma mamat Cina ni. Lari masuk bilik, kunci pintu dan keluar rumah ikut tingkap bilik yang menghadap koridor.

Subuh tu kecoh surau blok ada Cina terbongkang tidur kat dalam. Rumah residen/warden di ketuk pagi itu juga. Sekumpulan pelajar melaporkan kejadian bilik berhantu.

Pada mulanya warden ni tak percaya, kata mengarut semua tu tapi bila di tunjuk ke arah bilik bunuh diri yang jelas lampu menyala dan kipas terbukanya, dia janji cuba selesaikan masalah penghuni bilik tu secepat mungkin.

Ustaz dipanggil dan geng surau/PPI melakukan upacara ‘membersih’kan rumah tu.

Selesai aktiviti, ustaz tu kata Insha Allah dah okey bilik tu tapi tak cakap apa benda yang menghantuinya. Penghuni lama dah tak sanggup nak pindah masuk balik.

Bincang punya bincang, pengurusan membuat pengumuman siapa sanggup menginap kat unit itu cuma perlu bayar sewa RM50 je sebulan dan dibenarkan tinggal 2 orang sebilik, siap beli katil dua tingkat lagi untuk setiap bilik.

Berebutlah orang nak, terutamanya Muslim lah. Dah la surau kat blok yang sama, tak payah jalan kaki jauh-jauh, turun lif je. Dapatlah rumah tersebut ke geng surau.

Malam itu ketika semua melepak kat beranda rumah, mereka diganggu oleh bunyi deringan nyaring dari dalam bilik bunuh diri tu.

Penghuni bilik itu rasa pelik sebab dia cakap bunyi alarm jam loceng milik mereka tak bunyi macam tu.

Salah seorang pergilah ke bilik dan alangkah terkejutnya apabila dia nampak ada orang badan besar hitam, berseluar pendek tergantung dari kipas siling dan kepalanya berselubung towel warna ungu.

Dipendekkan cerita, sejak dari hari tu, unit apartment tu kosong. Tiada siapa berani tinggal kat situ dah.

Nak lalu-lalang depan rumah tu pun orang tak berani sebab ada mendakwa ternampak lelaki kepala berselubung towel mundar-mandir dalam rumah dari tingkap dapur. Untuk mengelakkan kejadian tak diingini berlaku, pengurusan kolej kediaman itu mewartakan rumah tersebut tidak boleh dihuni.

Menurut sumber, sehingga ke hari ini pada waktu-waktu tertentu setiap hari lampu dan kipas bilik kejadian bunuh diri itu akan terhidup dengan sendirinya dan boleh dilihat jelas dari luar.

Sumber : dammerung

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...