Selepas majlis perkahwinannya pada 5 September lalu, penyanyi dan selebriti popular Kim Jong-kook bersama isterinya yang masih dirahsiakan identitinya terus menjadi bualan hangat.
Majlis tersebut berlangsung secara tertutup dan hanya diumumkan kepada umum pada 18 Ogos, kurang sebulan sebelum tarikh perkahwinan. Malah, ramai rakan artis serta kenalan selebriti turut terkejut dengan berita itu.
Pengumuman yang dibuat dalam tempoh singkat menimbulkan spekulasi bahawa pasangan ini mungkin berkahwin tergesa-gesa kerana “shotgun wedding” iaitu istilah yang merujuk kepada perkahwinan yang berlaku apabila pihak wanita hamil sebelum bernikah. Istilah ini juga sering dikaitkan dengan beberapa selebriti lain yang mengumumkan kehamilan sejurus selepas berkahwin.
Bagaimanapun, pada 11 September, Kim Jong-kook tampil dengan sebuah video memaparkan aktiviti sebelum majlis perkahwinan termasuk momen ketika beliau memaklumkan berita itu kepada ahli ‘Running Man’. Dalam video sama, dia turut memohon maaf kerana merahsiakan majlis tersebut dan secara tegas menafikan dakwaan kehamilan sebelum nikah.
“Pada usia saya sekarang, kalau betul ini perkahwinan sebab hamil, saya anggap itu satu keberkatan. Tapi sebenarnya, kami hanya membuat keputusan untuk berkahwin baru-baru ini. Memang berlaku agak cepat, tapi bukan kerana kehamilan,” jelas Kim Jong Kook.
Selain itu, isu berkenaan kesuburan Kim Jong Kook yang pernah dibincangkan sebelum perkahwinan turut kembali menjadi perhatian netizen.