Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri Sabah memohon maaf di atas kesulitan agensi itu untuk mengeluarkan sijil kelahiran berikutan kertas yang digunakan untuk mencetak dokumen berkenaan telah habis dan tidak mencukupi, seperti laporan Harian Metro.
Perkara tersebut dimaklumkan Pengarah JPN Sabah, Khairrul Aminus Kamaruddin yang memaklumkan stok kertas sijil kelahiran JPN Sabah pada tahun ini adalah sebanyak 24,801 keping namun terputus bekalan sekitar awal Oktober lalu.
Jelasnya, kelewatan pengeluaran sijil lahir berkenaan disebabkan oleh kekurangan bekalan sijil ekoran bekalan kertas yang digunakan adalah diimport daripada pengilang di China.
Kelewatan bekalan kertas tiba di Malaysia disebabkan kejadian banjir di negara berkenaan. Semakan mendapati bekalan kertas berkenaan sudah tiba di negara ini pada 6 Disember lalu.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai aduan orang ramai yang mengelur berikutan terpaksa menunggu lama untuk mencetak sijil kelahiran anak mereka.
“JPN ingin memohon maaf atas kelewatan dan kesulitan yang berlaku, ia adalah di luar kawalan JPN..” ujarnya.
Khairrul turut memaklumkan bahawa kertas berkenaan telah diterima oleh syarikat percetakan dan dijangka akan sampai ke seluruh sabah serta boleh dikeluarkan selewat-lewatnya 20 Disember nanti.