Kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilaporkan merosot ke tangga yang terendah. KLIA berada di senarai ke-63 dalam 100 Lapangan Terbang Skytrax World berbanding sebelum ini apabila berada di tempat ke-54.
Tahun 2001, KLIA mendapat pencapaian tertinggi apabila berjaya meraih kedudukan kedua dalam senarai lapangan terbang terbaik. Namun, sejak 2013 kedudukan KLIA tidak lagi berada di antara ranking 10 terbaik. Lapangan terbang ini jatuh ke kedudukan ke-14.
Berikut merupakan kedudukan KLIA mengikut tahun:
2014: Tangga ke-20
2015: Tangga ke-19
2016: Tangga ke-24
2017: Tangga ke-34
2018: Tangga ke-44
Walau bagaimanapun, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) berjaya melayakkan diri untuk berada dalam kedudukan 10 teratas Terminal Penerbangan Tambang Murah Terbaik Dunia di tangga yang ke-6.
Tahun lalu KLIA2 berada di tangga ke-3 sekali gus menyaksikan kejatuhan prestasi lapangan terbang ini. Anugerah ini diberikan berdasarkan pilihan pengguna yang terdapat dalam tinjauan kepuasan pengguna lapangan terbang secara global.
Skytrax adalah sebuah syarikat perundingan penerbangan dan lapangan terbang yang berpusat di Britain. Tinjauan yang dijalankan untuk mengenal pasti pilihan pelanggan tentang lapangan terbang yang dianggap terbaik.
World Airport Awards pula adalah anugerah tahunan yang diletakkan sebagai penanda aras kualiti industri lapangan terbang dunia. Anugerah ini diukur berdasarkan penilaian perkhidmatan dan kemudahan oleh pengguna.
Tahun kelapan termasuk tahun ini, Lapangan Terbang Changi Singapura masih mengungguli tempat yang teratas.
Kemerosotan kedudukan lapangan terbang Malaysia berkemungkinan akan menyebabkan sektor pelancongan turut mendapat sedikit kesan.
Diharapkan usaha untuk memperbaiki dan menaiktaraf perkhidmatan di KLIA dapat dilakukan supaya dapat kembali bersaing dengan lapangan terbang antarabangsa yang lain.