Kalau sebelum ni hanya kedai makan saja yang dibenarkan beroperasi, terbaru kerajaan telah pun menambah lagi beberapa sektor peniagaan untuk beroperasi sehingga pukul 10 malam dan katanya keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil kira beberapa penilaian risiko.
Antara sektor dilanjutkan waktu operasi
Kita telah bersetuju untuk melanjutkan waktu perniagaan bagi beberapa lagi sektor perniagaan supaya boleh beroperasi hingga pukul 10 malam.
Antaranya kedai runcit, kedai serbaneka, farmasi dan kedai keperluan harian, kedai makanan haiwan, kedai dobi serta kedai cermin mata. – Kata Ismail Sabri.
Selain memudahkan rakyat, ini juga dapat memudahkan tugas Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memantau prosedur operasi standard (SOP) orang ramai.
Memetik laporan Berita Harian, langkah itu diambil bagi menyeragamkan semua waktu operasi setiap perniagaan yang diluluskan dan diberi kebenaran semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Syukur, suara rakyat lagi sekali didengar. Semoga urusan kita semua dipermudahkan dengan bertambahnya sektor-sektor lain yang boleh beroperasi sehingga 10 malam.